Isnin, 11 March 2019 | 12:40pm
Bekas atlet olahraga negara, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. - Foto Rosdan Wahid
Bekas atlet olahraga negara, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. - Foto Rosdan Wahid

Noorul dilantik pengerusi baharu YAKEB

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akhirnya menarik nafas lega apabila bekas atlet olahraga negara, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dilantik sebagai pengerusi baharu.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Noorul dilantik sebagai pengerusi YAKEB yang baharu berkuatkuasa pada 8 Mac 2019 sehingga 7 Mac 2021.

"Sukacita dimaklumkan bahawa saya bersetuju dan ingin mengumumkan bahawa Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dilantik sebagai pengerusi YAKEB baharu berkuatkuasa 8 Mac 2019 - 7 Mac 2021.

"Saya harap pelantikan ini dapat membantu perjalanan operasi YAKEB dengan lebih baik, membuka lebih banyak peluang penaja membantu YAKEB serta dapat membantu bekas atlet dengan bantuan bersesuaian, termasuk melaksanakan inisiatif yang diluluskan kerajaan dalam membela aspek kebajikan bekas atlet negara," kata Saddiq menerusi kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, Noorul yang kini berusia 54 tahun adalah ahli YAKEB sejak 2008 dan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah YAKEB pada 2016 sehingga kini.

Noorul juga pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Presiden Persatuan Olahraga Johor.

Beliau juga adalah bekas atlet Olahragawan Kebangsaan dari 1983 hingga 1995 yang menyaksikan beliau pernah menyertai acara 3000 meter (m) lari berhalangan mewakili negara ke temasya Sukan SEA 1989.

Noorul juga pernah meraih pingat emas di Kejohanan Olahraga Terbuka Antarabangsa Malaysia pada 1993.

 

 

Berita Harian X