Jumaat, 1 March 2019 | 11:21pm
MANNY Pacquiao. - Foto AFP
MANNY Pacquiao. - Foto AFP

Pacquiao serba salah, anak ingin ikut jejak

MANILA: Ikon tinju, Manny Pacquiao enggan membenarkan anak sulungnya mengikuti jejaknya untuk menjadi seorang petinju.

Legenda Filipina yang mempunyai lapan gelar dunia dari kategori berat badan berbeza itu berkata, dia tidak mampu melihat anaknya, Emmanuel Jr kesakitan.

"Saya memberitahunya bahawa sukan tinju adalah sukar, latihan yang sukar, semuanya sukar, tetapi dia berkata, 'ayah, tinju adalah semangat saya'," kata Pacquiao, 40, dalam laman berita online, Rappler.

Pacquiao berkata, isterinya, Jinkee, menegaskan bahawa anak lelaki mereka yang dikenali Jimuel berusia 19 tahun, tidak boleh menjadi petinju.

"Kemudian Jimuel memberitahu ibunya, 'Ibu, anda membunuh impian saya', jadi apa yang boleh kami lakukan? Kami hanya membiarkan dia," kata Pacquiao.

"Dia berlatih setiap hari. Saya melihat dia di biliknya menonton pertarungan saya di TV hampir setiap hari."

"Ia menyakitkan kerana saya tahu betapa sukarnya tinju. Saya tidak boleh tahan melihat anak saya dipukul, tidak mengapa jika saya adalah orang yang dipukul.

"Jika saya merasakan sesuatu yang tidak kena dengan tubuh saya atau jika saya rasa sedikit lemah, saya mungkin berfikir mengenai persaraan. Tapi buat masa ini, saya dalam keadaan baik dan rasa seperti berusia 27 atau 28 tahun."

Pacquiao menundukkan pencabar dari Amerika Syarikat, Adrien Broner di Las Vegas pada Januari lalu sekali gus mempertahankan gelaran welterweight Persatuan Tinju Dunia dan memperbaiki rekodnya kepada 61-7 dengan dua seri dan 39 'knockouts' dalam kerjaya yang bermula pada tahun 1995. - AFP

Berita Harian X