Jumaat, 1 March 2019 | 9:21pm
SYED Saddiq (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemain sukan elektronik FIFA19, Muhamad Luqman Haziq Hajiman (dua dari kanan) yang akan ke Kejohanan Kelayakan FIFA eWorld Cup di Singapura pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS). - Foto Luqman Hakim Zubir
SYED Saddiq (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemain sukan elektronik FIFA19, Muhamad Luqman Haziq Hajiman (dua dari kanan) yang akan ke Kejohanan Kelayakan FIFA eWorld Cup di Singapura pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS). - Foto Luqman Hakim Zubir

Butiran stadium ragbi pertama negara diumum minggu depan

PUTRAJAYA: Butiran cadangan pembinaan stadium ragbi pertama di negara ini yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, akan diumumkan minggu depan, demikian menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, memang sudah ada peruntukan yang disediakan untuk pembinaan stadium berkenaan dan projek itu adalah antara agenda dalam program pembangunan sukan tahun ini.

Katanya, beliau akan mengumumkan berita baik mengenai status pembinaan stadium ragbi dan beberapa perkara mengenai skuad ragbi lelaki dan wanita negara minggu depan.

Bagaimanapun, katanya, lokasi stadium belum dimuktamadkan dan ia tertakluk kepada rundingan antara Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata demikian katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pemain sukan elektronik FIFA 19 ke Kejohanan Kelayakan E-Sukan Piala

Dunia di Tingkat 17 Menara KBS, di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata pertemuan bersama kepimpinan tertinggi KRM semalam turut membincangkan bagi menaik taraf pasukan ragbi wanita dari tahap empat kepada tahap tiga dalam program Latihan Atlet 2019 kendalian MSN.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, sebelum ini, berkata, Perbadanan Putrajaya sudah meluluskan tapak pembinaan stadium ragbi itu, namun berdasarkan perbincangan terakhir bersama Syed Saddiq, kementerian mencadangkan lokasi stadium ditukarkan ke sekitar Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil.

Menurutnya, KRM lebih berminat jika venue itu ditukar ke Bukit Jalil kerana berdekatan dengan kemudahan lain seperti Institut Sukan Negara (ISN) dan MSN.

Berdasarkan perancangan asal dengan kerajaan terdahulu, kapasiti pembinaan stadium ragbi itu mampu memuatkan 5,000 hingga 10,000 penonton dan ia sesuai untuk perlawanan domestik dan persahabatan. - BERNAMA

Berita Harian X