Sabtu, 23 Februari 2019 | 1:33pm
DUSTIN Johnson dahului WGC-Mexico. - Foto Orlando Ramirez-USA TODAY Sports
DUSTIN Johnson dahului WGC-Mexico. - Foto Orlando Ramirez-USA TODAY Sports

Johnson dahului WGC-Mexico, Woods bangkit

MEXICO CITY: Dustin Johnson mengharungi dua pusingan tanpa bogey untuk mengumpul keseluruhan 11 bawah par 131, hari ini yang memberikannya kelebihan dua pukulan di depan Rory McIlroy dan Matt Kuchar di Kejuaraan WGC-Mexico.

Taktik Johnson di Lapangan Club de Golf Chapultepec itu membuatkan hasil apabila dia berjaya mengatasi pendahulu pusingan pertama, McIlroy ketika pemenang 14 kali gelaran utama, Tiger Woods mendaki ke tangga 10 terbaik selepas melakukan lima bawah par 66.

“Saya hanya melakukan kerja yang amat baik dengan mengawal jarak saya dengan iron dan memberikan diri saya pandangan yang lebih luas untuk birdie,” kata Johnson yang sebelum ini tidak pernah mengharungi kejohanan Jelajah PGA dengan dua pusingan tanpa bogey.

Juara WGC-Mexico pada 2017 itu juga mengakui dia menikmati cabaran apabila terpaksa menyesuaikan diri dengan altitud.

“Ia menjadikan kamu fokus, kamu perlu berfikir dan kamu perlu melakukan banyak perkiraan dengan nombor, cuba untuk menyelesaikan sejauh mana bola itu sebenarnya akan pergi,” katanya yang melakukan empat bawah par 67 pada pusingan kedua.

McIlroy, yang membuka saingan dengan lapan bawah par 63 pada hari pertama berada di landasan untuk mengekalkan kelebihan apabila mencatatkan tiga birdie pada empat lubang pertama.

Begitupun, dia melakukan bogey pada lubang keenam dan double-bogey pada lubang kesembilan untuk menamatkan pusingan kedua dengan 1 bawah par 71 dan keseluruhan sembilan bawah par 133.

Dia berkongsi kedudukan dengan Kuchar yang melakukan empat bawah par 67 diikuti pemain Sepanyol, Sergio Garcia dan pemain England, Tommy Fleetwood yang masing-masing terikat di kedudukan keempat dengan 135.

Legenda golf Amerika Syarikat, Woods dalam pada itu bangkit di kedudukan carta apabila melakukan keseluruhan lima bawah par 137 selepas melakukan 71, semalam. - AFP

Berita Harian X