Rabu, 20 Februari 2019 | 8:19pm
MAZLIHAM (enam, kanan) bersama pemain UNIKL meraikan kemenangan selepas menewaskan Maybank 2-1 pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia 2019 di Stadium Tengku Abdullah. - Foto Bernama
MAZLIHAM (enam, kanan) bersama pemain UNIKL meraikan kemenangan selepas menewaskan Maybank 2-1 pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia 2019 di Stadium Tengku Abdullah. - Foto Bernama

UniKL akhirnya kecapi gelaran juara

BANGI: Selepas gagal dalam sembilan percubaan sebelum ini, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akhirnya berjaya merangkul gelaran sulung Liga Perdana Hoki Malaysia meskipun kempen 2019 masih berbaki satu perlawanan.

Mereka mengesahkan gelaran selepas mencatat kemenangan ke-10 petang tadi dengan menewaskan Maybank 2-1di Stadium Tengku Abdullah yang menjadi gelanggang tuah buat mereka pada musim ini.

Pengendali UniKL, Arul Selvaraj ketika diminta mengulas mengenai kejayaan itu mendedikasikannya kepada Presiden UniKL, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud dan Presiden Kelab Hoki UniKL, Datuk Amir Azhar Ibrahim.

"Sudah pasti kami amat gembira untuk memenangi liga selepas menanti sekian lama. Kami mendedikasikan kemenangan ini kepada pihak pengurusan tertinggi UniKL. Kemenangan ini milik UniKL.

"Fokus kami selepas ini akan beralih kepada usaha mempertahankan Piala TNB dan kami mungkin akan menggunakan baki aksi terakhir liga bertemu TNB Thunderbolts (Khamis ini) untuk merehatkan beberapa pemain utama," kata Arul.

Kemenangan itu membolehkan juara Piala TNB 2018  itu menjarakkan diri empat mata ke atas pencabar terdekat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kini hanya mengumpul 27 mata daripada 11 perlawanan, dengan kedua-dua kini masih berbaki satu perlawanan.

Dalam aksi terbabit, UniKL terlebih dulu dikejutkan di depan kira-kira 100 penyokong sendiri apabila pemain Maybank, Zulhamizan Awang Abas meledak gol seawal minit keempat.

Jaringan itu terhasil selepas Zulhamizan bijak melepasi kawalan pertahanan UniKL, Timothy Deavin sebelum melepaskan pukulan yang mengelirukan penjaga gol dari Ireland, David Harte. 

Tersentak dengan jaringan itu, UniKL kembali mengemaskan permainan dan melancarkan beberapa serangan berbahaya dalam suku pertama, namun dihampakan kecekapan penjaga gol Maybank, Zaimi Md Deris yang turut menyelamatkan tiga daripada empat pukulan sudut penalti diperoleh skuad kendalian Arul.

Namun, dua gol padang dalam tempoh tiga minit suku kedua masing-masing oleh Rafizul Ezry Mustafa (minit ke-26) dan Valentin Verga (m-28) memastikan UniKL kembali bangkit untuk bergelar juara liga buat kali pertama.

KEPUTUSAN

UniKL  2 Maybank 1

TNB T'bolts 0 Nur InsafI 1

UiTM 2 THT 4

Berita Harian X