Selasa, 19 Februari 2019 | 6:17pm
Datuk Mohd Rashid Hasnon. - Arkib NSTP
Datuk Mohd Rashid Hasnon. - Arkib NSTP

Timbalan Dipertua Dewan Rakyat minat pimpin YAKEB

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon sedia membantu membangunkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) sekiranya dipilih menerajui organisasi berkenaan.

"Kalau pemilihan selalunya bukan saya yang mahukan jawatan itu. Tetapi jika ada pencalonan, terpulang kerana sudah pasti ada yang menang dan kalah. Pendekatan yang saya mahukan adalah menambahbaik sistem kebajikan bekas-bekas atlet di negara ini.

“Lagipun saya memang berminat dengan kebajikan dan sukan walaupun bukan atlet yang mewakili Malaysia," katanya ketika dihubungi Sukan BH, hari ini.

Jawatan pengerusi YAKEB kosong sejak Oktober lalu selepas penyandangnya, Azlan Iskandar meletak jawatan.

Beberapa nama dilaporkan berminat untuk mengisi tempat berkenaan termasuk bekas jaguh bina badan Asia sebanyak enam kali, Datuk Malek Noor; bekas atlet olahraga kebangsaan, Datuk Noorul Ariffin Abd Majeed dan ahli perniagaan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin.

Mengulas lanjut, Rashid menjelaskan meskipun ia bukan tugas utamanya jika terpilih memimpin YAKEB, namun sebagai wakil rakyat beliau akan membantu secara khusus dan sebaik mungkin.

Beliau yang membantu Pulau Pinang menjulang Piala Emas Raja-Raja pada 2017 ketika bergelar Penasihat Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang turut memohon pihak yang berminat mencalonkannya memegang jawatan itu agar memaklumkan kepada Kementerian Belia dan Sukan mengenai perkara berkenaan.

"Sebagai Timbalan Dipertua Dewan Rakyat saya berpegang kepada prinsip peraturan dan politik patut ditambah baik untuk membantu semua pihak. Ini kerana kita tidak membezakan antara sukan dan politik,” katanya.

Berita Harian X