Sabtu, 16 Februari 2019 | 7:15pm
DATUK Seri Megat D Shahriman Zaharudin (tengah) dilihat bersikap terbuka dalam perebutan jawatan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). - Foto Owee Ah Chun
DATUK Seri Megat D Shahriman Zaharudin (tengah) dilihat bersikap terbuka dalam perebutan jawatan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). - Foto Owee Ah Chun

Megat Shahriman tak kisah

 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin dilihat bersikap terbuka dalam perebutan jawatan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Tegasnya, beliau tidak kisah sekiranya tewas dalam perebutan berkenaan dan sedia memberi sokongan penuh kepada individu yang menjadi pilihan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Saya serahkan keputusan kepada Syed Saddiq kerana pada akhirnya beliau yang akan putuskan siapa antara sembilan calon berhak dipilih selaku pengerusi.

"Bagi saya siapa dipilih saya akan menyokong penuhnya kerana apa yang lebih utama adalah nasib bekas atlet negara.

"Saya tidak rugi apapun kalau tidak dipilih. Saya pada awalnya menawarkan diri kerana ingin membantu YAKEB keluar daripada masalah kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kesungguhan ditunjukkan bekas atlet negara - Datuk Malek Noor (bekas pengerusi YAKEB) dan Datuk Noorul Ariffin Abd Majeed - yang menyatakan kesediaan sekiranya diberi mandat.

Berbanding calon lain, Megat Shahriman muncul calon tunggal mempunyai latar belakang sebagai usahawan ketika jawatan itu secara tradisinya disandang bekas atlet.

Namun, sejak mula beroperasi sepenuhnya pada Oktober 2008, YAKEB sehingga kini masih belum mampu berdikari dan hanya bergantung sepenuhnya terhadap peruntukan daripada kerajaan.

Justeru, mungkin sudah tiba masanya 'tradisi' itu dibuang dalam usaha membawa masuk idea yang lebih segar bagi memastikan nasib bekas atlet lebih terbela.

"Sekali lagi saya ingin tegaskan keputusan akhir di tangan Syed Saddiq, kita tunggu saja keputusan berkenaan.

"Tetapi saya percaya sebenarnya YAKEB perlu lebih bijak dengan mewujudkan kerjasama dengan farmasi di seluruh negara untuk bekas atlet boleh mengambil ubat-ubatan.

"Dan itu antara perkara pertama saya akan lakukan sekiranya mendapat peluang dan kepercayaan menteri.

"Saya melihat ia dapat dilaksanakan dengan memperkenalkan sistem kad untuk membolehkan bekas atlet mendapatkan ubat dengan percuma tanpa perlu lagi ke hospital," katanya.

Berita Harian X