Jumaat, 15 Februari 2019 | 7:43pm
DATUK Malek Noor sedia terajui YAKEB. - NSTP/Hafiz Sohaimi
DATUK Malek Noor sedia terajui YAKEB. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Malek, Noorul sedia perkasa YAKEB

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Malek Noor tidak mahu tergesa-gesa melakukan perubahan sekiranya sekali lagi diberi mandat menerajui badan berkenaan.

Apa yang paling penting bagi Malek yang juga bekas atlet bina badan negara adalah mencari dana buat yayasan itu sekali gus memberikan manfaat kepada semua pihak.

"Saya antara calon untuk pengerusi dan kalau saya diterima untuk menjawat jawatan ini, saya akan cuba yang terbaik. Sambung apa yang sudah dilakukan sebelum ini.

"Walaupun saya belum tahu apa yang ingin dilakukan tetapi saya berhasrat mencari dana serta membaiki mutu perkhidmatan YAKEB.

"Saya juga ingin membuka buku baharu dan sedia bekerjasama dengan semua pihak andai dipilih," kata bekas jaguh bina badan Asia sebanyak enam kali ini kepada BH Sukan.

Malek pernah diangkat selaku pengerusi YAKEB pada 2015 dan kemudian jawatan itu disandang bekas pemain skuasy kebangsaan, Azlan Iskandar sebelum ia dikosongkan sejak Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Malek turut menafikan beliau mempunyai peluang kembali ke kerusi nombor satu berkenaan atas faktor pengalaman.

"Peluang? saya tak tahu. Semuanya diserahkan kepada Allah," kata Malek.

Sementara itu, seorang lagi calon yang juga bekas atlet olahraga kebangsaan, Datuk Noorul Ariffin Abd Majeed menjelaskan beliau berbesar hati dan menghargai pihak yang mencalonkan dirinya, sekali gus tekad melakukan pembaharuan kepada YAKEB.

Noorul, yang pernah beraksi ketika Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur dalam acara 3,000 meter lari berhalangan menjelaskan beliau cuba membawa dana daripada luar dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta badan-badan korporat.

"Kita akan memberikan lebih tumpuan kepada memberikan peralatan-peralatan kepada mereka yang tidak berkemampuan selepas menjalani rawatan di hospital. Kalau tak ada jawatan pun saya akan membantu YAKEB seperti sebelum ini," katanya.

Untuk rekod, sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan pelantikan pengerusi baharu YAKEB hanya akan ditentukan selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk bekas atlet. 

Berita Harian X