Sabtu, 9 Februari 2019 | 1:14pm
Phil Mickelson berkongsi kedudukan pendahulu hari kedua Jelajah PGA Pebble Beach Pro-Am. - Foto AFP
Phil Mickelson berkongsi kedudukan pendahulu hari kedua Jelajah PGA Pebble Beach Pro-Am. - Foto AFP

Mickelson hampiri gelaran ke-50

SAN FRANCISCO: Phil Mickelson terus garang memburu gelaran ke-50 sepanjang kariernya apabila berkongsi kedudukan pendahulu hari kedua Jelajah PGA Pebble Beach Pro-Am yang terjejas akibat hujan.

Pemain veteran Amerika Syarikat berusia 48 tahun itu, mencatat empat bawah par 68 di Spyglass Hills, selepas mencatat 65 pukulan semalam untuk kini mengumpul keseluruhan 10 bawah par 133.

Dia kini menerajui saingan bersama dua lagi rakan senegaranya Lucas Glover (66), Scott Langley (69) dan pemain dari England, Paul Casey (64).

Juara Pebble Beach 2017, Jordan Spieth pula juga menghimpun 10 bawah par selepas hanya sempat beraksi hingga lubang ke-16 sebelum aksi ditangguhkan kerana hujan lebat.

Spieth antara 44 pemain yang gagal menghabiskan aksi pusingan kedua yang akan disambung awal pagi esok.

Mickelson, yang pernah merangkul empat gelaran di Pebble Beach, melakukan tee-off di lubang ke-10 dan mencatat enam bawah par hasil enam birdie sepanjang 14 lubang pertama.

Namun, dia mencatat tiga bogey berturut-turut di lubang ke-15, 16 dan 17 sebelum menutup aksi pusingan kedua dengan birdie.

"Ia amat bagus untuk membenam birdie pada lubang terakhir, tetapi saya benci untuk menamatkan pusingan dengan cara begitu dan melakukan tiga bogey selepas beraksi baik," kata Mickelson.

"Keadaan cuaca menjadikan aksi hari ini lebih mencabar. Jadi, saya amat bertuah untuk menghabiskannya. Terdapat beberapa pemain tidak bernasib baik masih lagi beraksi dalam keadaan lapangan yang basah."

Mickelson yang memenangi gelaran terbabit pada 1998, 2005, 2007 dan 2012 - sudah mengutip 49 kemenangan di seluruh dunia, termasuk 43 gelaran Jelajah PGA dengan yang terbaru Kejuaraan WGC Mexico. – AFP

Berita Harian X