Ahad, 20 Januari 2019 | 11:36am
Phil Mickelson. - Foto AFP

Mickelson kekal dahului dua pukulan

LOS ANGELES: Pemenang lima gelaran major, Phil Mickelson membenam enam birdie bagi mencatat enam di bawah par 66 untuk terus mendahului saingan Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) Desert Classic dengan kelebihan dua pukulan.

Pemain golf Amerika Syarikat berusia 48 tahun itu menuju ke hari terakhir pertandingan esok pagi dengan misi menjulang gelaran ke-44 Jelajah PGA AS dan yang ketiga di kejohanan ini.

Catatan keseluruhannya 22 di bawah par 194 meletakkan dia dua pukulan di depan pemain Kanada, Adam Hadwin yang mengelak bogey ketika mencatat tujuh di bawah par 65 untuk keseluruhan 196 pukulan.

Mickelson  yang membuka aksi pusingan pertama dengan catatan bergaya 60 pukulan di lapangan La Quinta, satu daripada tiga lapangan digunakan minggu ini  kekal tenang dalam pertarungan hari ketiga apabila merakam tiga birdie berturut-turut bermula lubang keenam.

“Ada kalanya anda perlu berharap pukulan putt (cip) menyebelahi anda,” kata Mickelson.

Dia ketinggalan satu pukulan di belakang peneraju Hadwin apabila bola pukulannya bergolek masuk dari jarak sejauh 34 kaki pada lubang ke-13 untuk birdie dan kembali mendahului permainan selepas mencatat birdie di lubang seterusnya.

Pukulan kemas dari kawasan berpasir pada lubang ke-16 seakan menghadiahkannya satu lagi birdie, namun Mickelson gagal memanfaatkannya.

Tetapi birdie pada lubang ke-17 dengan pukulan putt sejauh 36 kaki dengan catatan par di lubang terakhir memastikan dia terus kekal mendahului aksi menuju hari keempat. – AFP

Berita Harian X