Sabtu, 15 Disember 2018 | 9:39pm
Perenang negara Chan Jie. - Arkib NSTP
Perenang negara Chan Jie. - Arkib NSTP

Chan Jie sumbang emas terakhir renang

KUALA LUMPUR: Perenang negara Chan Jie meraih emas terakhir dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 di Nay Pyi Taw, Myanmar, hari ini.

Ia emas peribadi ketiganya selepas mencatat masa 54.62 saat, manakala rakan senegara, Welson Sim di tempat kedua (54.81s) dan gangsa milik Jittrapon Thavarabha dari Thailand.

Welson, yang sebelum ini meraih lima emas di AUG menambah satu lagi perak dalam acara 1,500m gaya bebas, manakala dua gangsa renang hari ini disumbangkan Foong Wei Tze bagi saingan 50m kuak dada dan 4x200m wanita gaya bebas.

Emas terakhir hari ini adalah yang kelapan diraih skuad renang negara melepasi sasaran lima emas yang ditetapkan, selain menggondol tujuh perak dan 11 gangsa keseluruhan.

Sementara itu, skuad memanah recurve negara bermula dengan langkah kanan selepas meraih emas acara individu wanita menerusi Nur Aliya Ghapar.

Aliya yang juga pemenang emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, beraksi tanpa tekanan apabila berdepan rakan senegara, Loke Shin Hui pada penentuan emas.

Di Singapura, skuad recurve hanya meraih satu emas menerusi acara berpasukan, manakala lima daripada enam emas disumbang dalam acara compound.

Hasrat skuad memanah recurve untuk meraih satu lagi emas dalam acara individu lelaki tidak kesampaian apabila Muhammad Shaiffuddin kalah kepada Hendra Purnama (Indonesia) pada aksi penentuan emas.

Skuad olahraga negara pula menambah dua lagi emas menerusi Firdasu Mazalan (400m lompat berpagar lelaki) dan Norliana Kamarudin (lompat tinggi wanita).

Firdaus yang pernah meraih emas di AUG Laos 2012, mencatat masa 53.37s, manakala rakan senegara Mohamed Farhan Mafsyam Zaki memenangi perak dan Kingkao Intavong dari Laos sekadar membawa pulang gangsa.

Norliana pula melepasi ketinggian 1.80m untuk mengetepikan pemenang pingat perak, Nadia Anggraini dari Indonesia (1.68m) dan gangsa diraih seorang lagi atlet negara, Yap Sean Yee.

Skuad olahraga turut menambah tiga perak dalam acara 400m lompat berpagar lelaki menerusi Muhammad Farhan dan Siti Aishah Nora Rahis pula mencatat keputusan sama bagi acara merejam lembing wanita.

Kuartet 4x100m lelaki juga meraih perak dengan masa 40.34s dan tiga lagi gangsa diraih dalam acara 400m lompat berpagar, lompat tinggi, merejam lembing dan kuartet 4x100m wanita.

Setakat ini skuad olahraga sudah merangkul tiga emas dengan sasaran yang ditetapkan adalah 10 emas.

Berita Harian X