Isnin, 26 November 2018 | 7:17pm
SKUAD hoki kebangsaan menerima sambutan meriah daripada tuan rumah Piala Dunia itu, semalam.

Malaysian Tigers terima sambutan meriah

KUALA LUMPUR: Skuad hoki kebangsaan yang tiba di Bhubaneswar, India menerima sambutan cukup meriah daripada tuan rumah Piala Dunia itu, semalam.

Penjaga gol, S Kumar dan ketua jurulatih, Roelant Oltmans paling menjadi tumpuan peminat dan media.

Oltmans sebelum ini pernah melatih skuad kebangsaan India manakala Kumar adalah antara pemain Malaysia paling dikenali dalam arena hoki.

“Ia benar-benar stadium yang cantik dan saya percaya penonton akan datang dan memenuhi tempat duduk untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia di laman mereka sendiri,” kata Kumar.

“Malaysia terlepas untuk bermain di sini kerana kami tidak melayakkan diri ke final Liga Dunia (2017) tapi kini, saya akhirnya boleh merasai sendiri pengalaman beraksi di stadium yang cantik ini.”

Oltmans dalam pada itu berkata: “Bhubaneswar adalah lokasi terbaik untuk menganjurkan Piala Dunia kerana peminat di sini hebat dan saya berharap apabila India tidak bermain, mereka akan menyokong pasukan Malaysia.”

Stadium dan Bhubaneswar sudah bersedia untuk menerima kunjungan peminat hoki seluruh dunia serta pasukan bertanding di Piala Dunia yang bermula Rabu ini hingga 16 Disember depan.

Gelanggang utama, Stadium Kalinga, yang dibina pada 1978 dibaik pulih bagi kejohanan itu dengan bintang India, AR Rahman dan Shah Rukh Khan dijangka mengadakan persembahan pada majlis pembukaan esok.

Kapasiti Stadium Kalinga juga ditambah daripada 9,000 kepada 15,000 tempat duduk manakala lampu limpahnya turut dinaik taraf.

Sebanyak 300 bas turut diperkenalkan untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di bandar tuan rumah dan bandar berjiran, Cuttack dan Puri.

Sebagai rekod, India memenangi satu-satunya kejuaraan Piala Dunia pada 1975 di Kuala Lumpur.

Berita Harian X