Ahad, 11 November 2018 | 12:20pm
MATT Kuchar. - Foto EPA

Kuchar unggul empat pukulan

MEXICO CITY: Matt Kuchar, yang memburu kejuaraan pertamanya dalam Jelajah PGA AS selepas kemarau empat tahun, mendahului empat pukulan dengan persembahan rekod kejohanan bagi tiga pusingan pada Klasik Mayakoba di Mexico, awal pagi tadi.

Kuchar merakam 65 selepas tujuh birdie sekali gus mengumpul 20 bawah par 193 keseluruhan, catatan terbaik karier bagi 54 lubang di lapangan El Camaleon di Playa del Carmen.

“Saya tidak pernah bermimpi melakukan yang lebih baik sepanjang 54 lubang,” kata Kuchar. “Saya memikirkannya hari ini dan pasti bagus melakukan 7 bawah par bagi menyamai dua pusingan pertama saya... saya berasa terlalu bagus bagi tiga hari pertama.”

Pemain Korea Selatan, Whee Kim menghuni tangga kedua dengan 197 selepas lima bawah par 66 dengan pemain Amerika Syarikat, Richy Werenski dan pemain New Zealand, Danny Lee satu pukulan di belakang. Kedua-duanya melakukan 67.

Cameron Champ, yang ketinggalan dua pukulan di belakang Kuchar selepas pusingan kedua, terjejas dengan double-bogey pada lubang terakhir ketika dia merakam dua bawah par 69.

Ia menyaksikannya berkongsi tangga kelima dengan 14 bawah par 199 bersama pemain rookie Aaron Wise (63) dan JJ Spaun (65).

Kuchar, selepas dua catatan 64, memastikan dia berada di depan dengan empat birdie dalam lapan lubang pertamanya. Dia kemudian melonjak kepada enam bawah par dengan birdie berturut-turut pada lubang ke-12 dan 13.

Bagaimanapun pukulan teenya tersasar ke arah kanan pada lubang berikutnya, lubang 14 par-empat, menyaksikan bola Kuchar singgah di rough.

Selepas mengambil pukulan penalti, dia berjaya menyelamatkannya dengan bogey.

Pemain AS itu, kejuaraan terakhir dalam Jelajah PGA hadir pada April 2014 di kejohanan RBC Heritage di Hilton Head Island, South Carolina, bangkit dengan birdie pada lubang ke-15 sebelum menamatkan pusingannya dengan tiga par berturut-turut.

Ia membantunya mengumpul dua pukulan lebih bagus berbanding rekod kejohanan terdahulu bagi 54 lubang, 195 dikongsi bersama Fred Funk pada 2007 dan Brian Gay pada 2008. - Reuters

Berita Harian X