Sabtu, 10 November 2018 | 10:10am
MATT Kuchar mendahului dua pukulan pada kejohanan Klasik Mayakoba. - EPA
MATT Kuchar mendahului dua pukulan pada kejohanan Klasik Mayakoba. - EPA

Kuchar dahului dua pukulan di Mexico

MEXICO CITY: Matt Kuchar mendahului dua pukulan pada kejohanan Klasik Mayakoba dalam Jelajah PGA AS di Mexico awal pagi tadi, merakam 64 kali kedua berturut-turut bagi keseluruhan 14 bawah par 128.

Kuchar, yang memenangi tujuh kejuaraan jelajah namun mengintai yang pertama sejak RBC Heritage 2014, dua pukulan di depan Cameron Champ, yang mencatat sembilan bawah par 62 untuk mengumpul 130.

Champ, yang memenangi kejuaraan sulung Jelajah PGA pada kejohanan keduanya sebagai pemain jelajah pada Kejuaraan Sanderson Farms di Mississippi bulan lalu, membenam lapan birdie, satu eagle dan satu bogey di lapangan El Camaleon di Playa del Carmen.

Champ berkata, dia tidak pernah terfikir kemungkinan merakam 59.

“Secara jujur saya lupa mengenai par,” katanya. “Saya hanya melakukan yang terbaik, berada di zon sepatutnya. Saya hanya cuba memukul bola sebaik mungkin pada setiap masa.”

Sekalipun Champ mengungguli kedudukan carta ketika dia keluar dari lapangan, Kuchar, yang memulakan hari terikat sebagai pendahulu bersama Dominic Bozzelli dan Kramer Hickok, pantas membuat impak.

Pemain AS itu membenam birdie lima lubang berturut-turut pada sembilan lubang pertama dan meraih tiga lagi pada sembilan lubang terakhir dengan bogey tunggal hadir pada lubang ke-12 par-empat, apabila pukulan tee singgah di semak sebelum dia menyelamatkannya dengan bogey dari jarak jauh. - AFP

Berita Harian X