Sabtu, 3 November 2018 | 6:40pm
ATLET lompat jauh negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraikan kejayaannya dalam acara akhir lompat jauh kategori lelaki T36 sempena temasya Sukan Para Asia 2018 di Stadium Gelora Bung Karno, bulan lalu. Ridzuan mendapat pingat emas dengan memecah rekod Asia dan rekod temasya dengan lompatan sejauh 5.49 Meter. - Foto BERNAMA

Peruntukan besar mampu bakar semangat atlet para

 

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) gembira menerima peruntukan bernilai RM100 juta untuk persiapan atlet Malaysia ke temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

Timbalan Presiden MPM, John Ng, berkata peruntukan besar berkenaan menunjukkan kerajaan tidak pernah meminggirkan atlet kurang upaya di Malaysia selama ini.

Beliau berkata, MPM juga percaya kerajaan akan terus berlaku adil dan memberikan layanan sama rata kepada semua atlet paralimpik sama ada daripada segi pemberian peruntukan mahupun kemudahan lain berikutan kejayaan demi kejayaan dicapai mereka di peringkat antarabangsa.

"Malah, kontinjen atlet luar biasa kebangsaan mencatat sejarah tersendiri apabila meraih 17 pingat emas di Sukan Para Asia Jakarta 2018 berbanding sasaran awal 15 pingat emas serta mencipta dua rekod dunia dan kejohanan yang baharu.

"Justeru, MPM percaya pemberian peruntukan berkenaan akan membakar semangat atlet kebangsaan untuk mempamerkan aksi lebih cemerlang dan menambah bilangan pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nanti," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2019, semalam yang mengumumkan peruntukan RM100 juta sebagai persediaan atlet ke Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 dengan harapan mampu membawa pulang pingat emas pertama negara.

Selain itu, RM10 juta diperuntukkan kerajaan buat Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi membangunkan sukan elektronik (E-Sports) yang mendapat tempat dalam kalangan generasi muda hari ini.

Berita Harian X