Sabtu, 3 November 2018 | 12:01pm
GAYA Peter Uihlein ketika membuat pukulan di lubang ke-8 pada pusingan pertama Jelajah PGA Amerika Syarikat Terbuka Shriners Hospitals For Children di Los Angeles, semalam. - Foto AFP
GAYA Peter Uihlein ketika membuat pukulan di lubang ke-8 pada pusingan pertama Jelajah PGA Amerika Syarikat Terbuka Shriners Hospitals For Children di Los Angeles, semalam. - Foto AFP

Uihlein kukuh cengkaman di Las Vegas

LOS ANGELES : Peter Uihlein melupakan bogey pada awal permainan untuk mencatat lima bawah par 66 pada pusingan kedua dan terus mendahului dengan kelebihan dua pukulan di Jelajah PGA Amerika Syarikat Terbuka Shriners Hospitals For Children.

Uihlein, yang melakukan 63 pukulan pada hari pertama dengan membenam tiga birdie pada enam lubang pertama, mencatat bogey di lubang dua di TPC Summerlin di Las Vegas, Nevada.

Bagaimanapun, birdie pada lubang empat diibaratkan sebagai tonik kekuatannya untuk bangkit sebelum melakukan perkara sama sebanyak lima kali di sembilan lubang terakhir.

Ia membolehkan pemain kelahiran Amerika Syarikat itu mengumpul 13 bawah par 129, dua pukulan mengatasi rakan senegara, Robert Streb dan Kim Meen Whee dari Korea Selatan.

"Saya cuba mendapatkan lebih banyak fairway dan green, supaya permainan lebih stabil,” kata Uihlein. “Berjaya meraih par di lubang enam, boleh diibarat saya berjaya mengawal kapal dengan baik sekali dan selepas itu permainan saya menjadi sangat berkesan.

“Saya menemui lebih banyak fairway dan green. Saya merasakan jika saya terus melakukannya, saya akan membuka lebih banyak peluang di setiap lubang dan bola masuk dengan mudah."

Lima birdie pada tujuh lubang terakhir membolehkan pemain berusia 29 tahun itu terus mendahului kejohanan berkenaan.

Kim dan Streb yang bebas bogey berkongsi tempat kedua, namun permulaan cemerlang pemain Korea Selatan itu bermula dengan melakukan birdie pada lubang 12.

Dia menambah tiga lagi birdie pada lubang 14, 15 dan 16, sebelum melakukan aksi sama pada lubang lima serta sembilan untuk membolehkannya mengumpul 11 bawah par 131.

Streb pula melakukan lima bawah par 66, dengan membenam birdie pada lubang 14, 15 dan 16 sebelum menutup aksi dengan satu lagi birdie di lubang sembulan.

Bryson DeChambeau yang mewakili Amerika Syarikat di Piala Ryder mengumpul 66 pukulan untuk berkongsi kedudukan keempat dengan catatan 10 bawah par 132. 

Dua lagi pemain yang berada di kedudukan berkenaan ialah Abraham Ancer dari Mexico dan rakan senegara DeChambeau, Harold Varner.

Juara tiga kali kejohanan utama, Jordan Spieth melakukan tiga bawah par 68 untuk berkongsi kedudukan kelapan dan mengumpul 134 pukulan keseluruhan. - AFP

 

 

Berita Harian X