Isnin, 29 Oktober 2018 | 3:29pm
Cameron Champ muncul juara di Kejohanan Sanderson Farms di Jackson, Mississippi. - Foto AFP
Cameron Champ muncul juara di Kejohanan Sanderson Farms di Jackson, Mississippi. - Foto AFP

Champ juara Sanderson Farms

MISSISSIPPI: Cameron Champ pemain golf yang mempunyai hayunan paling jauh dalam Jelajah PGA namun pukulan putt berjaya membantunya untuk muncul juara di Kejohanan Sanderson Farms.

Kurang dari setahun selepas menjadi profesional, pemain Amerika Syarikat itu mendahului empat pukulan di pusingan terakhir, dibantu empat birdie berturut-turut bermula dari lubang 13 sekali gus dapat meredakan cabaran wakil Kanada, Corey Conners di Country Club of Jackson.

"Hari ini adalah pengalaman baru. Ia bukan sembilan lubang pertama yang saya harapkan. Pada baki saingan mengumpul segala tenaga yang ada dan menamatkan aksi dengan hebat," kata Champ yang melakukan satu lagi birdie terakhir untuk menamatkan saingan dengan empat di bawah par 68.

Champ menamatkan saingan dengan mengumpul keseluruhan 21 di bawah 267, sementara Conners di tempat kedua dengan 17 di bawah 68.

Champ sebelum ini berjaya menarik perhatian dalam saingan Jelajah Web.Com tahun lalu dengan purata melakukan pukulan tee sejauh 342 meter.

Bagaimanapun, pada hari terakhir dia membuktikan bukan saja memiliki kelebihan dari pukulan jauh dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokongnya.

"Segalanya kerja keras setahun lebih, pengorbanan keluarga saya membolehkan saya meraih peluang seperti ini. Sekarang saya adalah juara Jelajah PGA, ia seperti mimpi," kata pemain berusia 23 tahun dari California itu. - REUTERS

 

Berita Harian X