Ahad, 28 Oktober 2018 | 12:06pm
CAMERON Champ.
CAMERON Champ.

Champ di depan empat pukulan

LOS ANGELES: Pemain rookie Amerika Syarikat, Cameron Champ yang mengejar gelaran sulung dalam Jelajah PGA AS, mencatat lapan bawah par 64 untuk mendahului dengan empat pukulan selepas pusingan ketiga Kejohanan Sanderson Farms, awal pagi tadi.

Pemain dari California berusia 23 tahun itu mengumpul 17 bawah par 199 selepas 54 lubang di Country Club of Jackson di Mississippi dengan Corey Conners dari Kanada di tempat kedua apabila merakam 64 pukulan.

“Saya menikmatinya. Bagus sekali,” kata Champ. “Masih ada sehari lagi. Moga semuanya berjalan lancar dan menang esok. Saya akan bermain dengan agresif.”

Champ mendahului selepas 18 lubang dan berkongsi kelebihan pada pusingan kedua dengan pemain berdarah campuran China-Amerika, Norman Xiong yang merekod 76 pukulan pada pusingan ketiga menyebabkan dia gagal mempertahankan kedudukan selaku pendahulu bersama.

Champ membuka aksi dengan tolakan birdie dari jarak 10 kaki, kemudiannya tiga birdie berturut-turut bermula lubang ketiga.

Selepas menjawab bogey tunggal di lubang keenam dengan birdie dari jarak enam kaki untuk menamatkan sembilan lubang pertama, Champ membenam birdie pada lubang ke-11 par-5 sebelum mencatat tiga lagi birdie berturut-turut bermula lubang ke-13 par-3. - AFP

Berita Harian X