Isnin, 8 Oktober 2018 | 8:54pm
NOR Saiful Zaini Nasruddin - Foto HASRIYASHAH SABUDIN
NOR Saiful Zaini Nasruddin - Foto HASRIYASHAH SABUDIN

Saiful akur anak buah belum cukup bagus

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasruddin mengakui setengah daripada barisan pemainnya belum bersedia beraksi di pentas antarabangsa.

Pendapat itu disuarakannya selepas Malaysia dimalukan Australia 6-1 dalam aksi kedua edisi kelapan Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, semalam.

Ia hadir dikala skuad kendalian Saiful itu masih belum pulih daripada kekecewaan tewas 2-1 di tangan India dalam aksi pembukaan dan Malaysia seterusnya dijadualkan berdepan New Zealand, esok.

"Mereka belum bersedia. Sembilan pemain saya baru membuat kemunculan sulung di pentas antarabangsa dan walaupun beraksi baik ketika Jelajah China sebelum ini, mereka tidak mampu menandingi permainan disajikan Australia," katanya.

Malaysia seperti juga India dan Australia, terpaksa melepaskan pemain terbaik bawah-18 tahun ke Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, namun dilihat mempunyai pemain sokongan yang lebih berwibawa.

"Ya, kami amat menagih khidmat lapan pemain yang ke Buenos Aires dan walaupun begitu saya tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan.

"Ia akan terus melemahkan semangat pasukan. Apapun, pemain yang disenaraikan ke SOJC kali ini belum bersedia sepenuhnya," kata bekas penyerang Olimpik negara itu.

Sukan Olimpik Remaja menggunakan format permainan 5 sebelah dan Malaysia tidak berdepan masalah membelasah pasukan kerdil Vanuatu 14-0 dalam aksi pembukaan dan akan berdepan Mexico selepas ini.

Sebahagian besar pemain skuad SOJC ini akan memainkan tugas apabila Malaysia mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia Remaja selepas ini dengan baki pemain berada di Argentina.

"Dari sudut positif, saya berharap pemain muda ini akan menjadikan pendedahan ditimba di SOJC sebagai proses pengajaran berguna. Sekarang kami tiada pilihan selain menewaskan New Zealand dan Jepun untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik," katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir pasukan remaja negara berdepan skuad Kiwi di Piala Dunia Remaja 2016 berkesudahan dengan keputusan kalah 3-1 dalam aksi penentuan tempat ke-9 hingga ke-12.

 

JADUAL

Esok

Australia mln Britain, 4.05 ptg

India mln Jepun, 6.05 ptg

New Zealand mln Malaysia, 8.35 mlm

*Semua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru

 

Kedudukan

              P  M  S  K  J  B  MT

INDIA         2  2  0  0  9  2  6

JEPUN         2  2  0  0  4  2  6

AUSTRALIA     2  1  0  1  7  3  3

BRITAIN       2  1  0  1  4  4  3

MALAYSIA      2  0  0  2  2  8  0

NEW ZEALAND   2  0  0  2  3  10 0

Berita Harian X