Selasa, 25 September 2018 | 5:20pm
AZMAN Fahmi Osman - Foto Aswadi Alias
AZMAN Fahmi Osman - Foto Aswadi Alias

KLSC buru anugerah kedua

KUALA LUMPUR: Selepas mengungguli anugerah stadium terbaik tahunan dalam Kongres Anugerah Stadium Dunia 2018 di Amsterdam, Belanda, Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) memburu gelaran kedua tahun ini apabila tersenarai dalam Anugerah 'Project Of The Year'.

Menurut KLSC melalui satu kenyataan media, anugerah berkenaan diadakan bersempena dengan penganjuran Anugerah 'Stadium Business Design & Development' dan keputusannya bakal diumumkan pada 13 November depan di Wembley, London.

"Selepas mengungguli Anugerah Stadium Terbaik Dunia awal tahun ini, KLSC sekali lagi membanggakan negara apabila berjaya tercalon ke peringkat akhir kategori 'Project of the Year'," katanya.

KLSC akan bersaing dengan stadium-stadium bertaraf antarabangsa antaranya Audi Field (Amerika Syarikat), Stadium Louis Amstrong, New York (Amerika Syarikat) dan Stadium Optus, Perth (Australia). 

Awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman mengakui banyak dipelajari KLSC terutama sekali selepas berjaya menganjurkan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan sekarang bila-bila masa saja mampu untuk menjadi tuan rumah temasya lebih besar termasuk Sukan Asia.

Venue ikonik iaitu Stadium Nasional menjalani proses menaik taraf yang menelan belanja keseluruhan RM1.6 bilion tahun lalu termasuk pembangunan KLSC.

Berita Harian X