X
Sabtu, 22 September 2018 | 9:46pm
AZREEN Nabila Alias - Foto ABDULLAH YUSOF
AZREEN Nabila Alias - Foto ABDULLAH YUSOF

Eugenius, Azreen dinobat Olahragawan, Olahragawati SUKMA

IPOH: Tiga emas, satu perak, dua rekod temasya dan satu menyamai rekod kebangsaan membolehkan atlet kelahiran Sabah, Eugenius Lo dinobatkan sebagai Olahragawan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 di Perak. 

Manakala kemampuan atlet pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias meraih tiga emas - 100 meter (m), 200m dan 4x100m dan satu rekod temasya dalam acara 100m memadamkan rekod 10 tahun milik Siti Fatima Mohamad diumumkan sebagai Olahragawati SUKMA.

Bagi Eugenius dia langsung tidak menjangka akan kejayaan itu dan ditujukan kepada kepada semua yang tidak putus memberi sokongan terutama kepada pasukan memanah Sabah, keluarga, rakan-rakan dan juga jurulatih yang sentiasa menjadi nadi kekuatannya selama ini.

"Saya masih terkejut dengan anugerah ini. Sesungguhnya saya tidak menyangka akan dipilih sebagai olahragawan. 

"Persiapan saya selama setahun untuk menghadapi SUKMA ini berbaloi. Kejayaan saya raih hari ini memperbaiki pencapaian dua tahun lalu apabila sekadar meraih satu emas dalam acara compound berpasukan lelaki," katanya yang lebih meminati acara compound berpasukan. 

Eugenius meraih emas dalam acara 70m compound individu (rekod temasya), 50m compound individu (rekod temasya), 30m compound individu (menyamai rekod kebangsaan) dan perak dalam compound berpasukan. 

Sementara itu Azreen mendedikasikan anugerah diraihnya itu kepada arwah bapanya, Alias Che Ngah yang meninggal dunia pada 2014. 

"Andai ayah masih bersama, pasti beliau gembira dengan kejayaan saya ini. Ayah hanya sempat melihat saya beraksi ketika SUKMA Perlis tapi ketika itu saya gagal meraih sebarang pingat. 

"Terima kasih juga kepada ibu, Khadijah Ali, jurulatih dan semua yang sentiasa menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada saya," katanya yang bergelut dengan kecederaan hamstring di kedua-dua belah kakinya tiga bulan sebelum SUKMA bermula. 

SUKMA Perak ke-19 menutup tirainya hari ini dengan Terengganu dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X