Khamis, 20 September 2018 | 4:16pm

Puteri pecah rekod 18 tahun Roslinda

IPOH: Atlet Negeri Sembilan, Puteri Nur Adillah Shik Azizir Rahman melakar kejutan apabila memecah rekod berusia 18 tahun milik Roslinda Samsu dalam acara lompat bergalah wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak.

Puteri mencipta rekod baru temasya 3.80 meter di Stadium Perak hari ini sekali gus memadamkan rekod lama milik Roslinda 3.75m pada SUKMA Pulau Pinang 2000.

Pingat perak acara itu menjadi milik atlet Kedah, Nurul Fitriyana Abdul Rani dengan ketinggian 3.50m manakala Nor Sarah Adi dari Pahang gangsa 3.30m.

Puteri, 19, berkata, misinya selepas ini adalah mengejar ketinggian 4.00m supaya terpilih beraksi pada Sukan SEA Filipina tahun depan.

Pengalaman beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 cukup bermakna biarpun dia menamatkan saingan di kedudukan tercorot kerana mengalami kecederaan.

“Saya hanya mengikut perancangan jurulatih (Manshahar Abdul Jalil) dan alhamdulillah ia menjadi. Memang saya sasar untuk emas pada temasya ini dan persediaan menghadapi SUKMA sudah dilakukan selepas Sukan SEA lagi.

“Catatan terbaik saya sebelum ini 3.70m dan saya sudah berjaya melakukan 3.80m. Saya akan cuba melepasi ketinggian 4.00m selepas ini,” katanya.

Selain Puteri, empat lagi rekod temasya berjaya dipecahkan dalam olahraga pada Sukan Malaysia yang berakhir Sabtu ini.

Ia membabitkan baling tukul besi lelaki menerusi Johnny Ling dari Sarawak, Azreen Nabila Alias (Terengganu, 100m wanita), Ilham Suhaimi (Selangor, 400m lelaki) dan Andre Anura@Anuar (Sabah, lompat kijang lelaki).

Berita Harian X