Selasa, 28 Ogos 2018 | 6:08pm
FARAH Ann Abdul Hadi. - Foto FATHIL ASRI
FARAH Ann Abdul Hadi. - Foto FATHIL ASRI

Misi seterusnya ke Olimpik 2020-Farah

KUALA LUMPUR: Selepas menamatkan tugasan di Sukan Asia Palembang Jakarta, atlet gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi bakal memberi tumpuan penuh terhadap Kejohanan Dunia di Doha, Oktober ini kerana saingan itu akan menjadi aksi permulaan bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

 Menurut atlet berusia 24 tahun itu, mereka tidak boleh duduk diam sebaik tamatnya cabaran di Jakarta kerana misi utama di Kejohanan Dunia nanti adalah melayakkan diri secara berpasukan ke temasya sama sama tahun depan.

 "Kami akan kembali berlatih dengan lebih keras kerana Kejohanan Dunia adalah kelayakan ke Olimpik dan acara terakhir untuk tahun ini," katanya yang membantu acara berpasukan menduduki tempat keenam dengan memungut 140.100 mata di Jakarta baru-baru ini.

 "Jadi sasaran kami adalah buat yang terbaik di Doha nanti kerana sudah lama kita tidak layak ke Kejohanan Dunia.”

 Dia yang menduduki tempat ketujuh di belakang atlet China, Korea Utara, Korea Selatan dan Jepun bagi acara individu all around, berasa lega dengan pencapaian yang diraih di Jakarta.

 "Kami berjaya mencapai sasaran di Jakarta apabila mara ke peringkat akhir acara berpasukan. Bagi diri saya sendiri pula saya gembira kerana mampu meningkatkan kedudukan ranking.

 "Saya tidak akan berasa selesa dengan apa yang dicapai sebaliknya mahu buat yang terbaik agar ranking saya semakin meningkat," kata atlet kelahiran Kuala Lumpur itu. 

 Selain Farah Ann, turut mengambil bahagian dalam acara gimnastik artistik wanita ialah Tan Ing Yueh dan Tracie Ang.

 Ing Yueh menduduki tempat keenam dalam apparatus senaman lantai dan ke-10 untuk melombol.

Berita Harian X