Selasa, 14 Ogos 2018 | 2:53pm
AZLAN Iskandar (empat kiri) bersama bekas-bekas atlit melawat bekas pelumba kebangsaan, Ishak Alwi (kanan) yang telah menjalani pembedahan memotong kaki akibat diabetes di kediamannya Pandan Indah. NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
AZLAN Iskandar (empat kiri) bersama bekas-bekas atlit melawat bekas pelumba kebangsaan, Ishak Alwi (kanan) yang telah menjalani pembedahan memotong kaki akibat diabetes di kediamannya Pandan Indah. NSTP/ HAFIZ SOHAIMI

Ishak terharu kehadiran YAKEB

KUALA LUMPUR: Bekas pelumba berbasikal negara, Ishak Alwi ternyata tersentuh dengan sumbangan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) terutama sekali selepas kaki kanannya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman dan kencing manis sejak 15 tahun lalu.

 Ishak yang juga adik bongsu kepada seorang lagi bekas pelumba negara, Rosman Alwi, berterima kasih dengan sumbangan YAKEB sejak 2013 dan sehingga ke hari ini masih lagi memantau tahap kesihatannya. 

 "Setidak-tidaknya bekas atlet seperti saya dapat mengurangkan kesulitan yang ditanggung dengan adanya bantuan YAKEB," katanya yang sebelum ini mengalami kesakitan kaki kiri namun disebabkan jangkitan kuman kaki kanannya terpaksa dipotong.

 Ujarnya, dia redha dengan ujian yang menimpanya dan mengakui kehidupan harus diteruskan walaupun mengalami kekurangan dan tidak seperti dulu.

 "Selepas diberhentikan kerja sekarang ini saya menolong isteri berniaga nasi lemak di stesen LRT Pandan Indah. Bagaimanapun, adat berniaga mesti ada pasang dan surut," kata Ishak yang terkenal dengan acara pecut dan satu kilometer ujian masa ketika era 80-an.

 Bapa kepada lima anak itu memulakan kerjayanya dengan mewakili Wilayah Persekutuan dan sentiasa berada di belakang Rosman.

 "Kalau hendak menceritakan kisah lalu saya sentiasa berada di tempat kedua di belakang Rosman. Pengalaman dan pencapaian terbaik yang tidak boleh dilupakan ialah mewakili negara ke Kejohanan Remaja Dunia Paris 1984," katanya yang mula meninggalkan acara berbasikal disebabkan kecewa tidak dipilih menyertai skuad negara ke Sukan SEA 1991 Manila.

 Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Azlan Iskandar, mengakui sumbangan yang diberikan kepada Ishak bermula sejak 2013 lagi dengan jumlah keseluruhan RM77,000.

 "Ini antara peranan YAKEB buat semua bekas atlet dan kami juga sentiasa berusaha untuk mendapatkan dana agar boleh membantu mereka yang memerlukan seperti Ishak.

 "Memang sedih melihat keadaannya sekarang jika dibandingkan dengan dia pernah berada di atas ketika dulu. Sekarang tidak ada yang beri perhatian dan di sinilah peranan YAKEB," kata bekas pemain skuasy negara itu.

 Turut hadir ke lawatan berkenaan ialah Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, bekas atlet, Datuk Ng Joo Ngan, Rosman, Shaharuddin Jaafar dan Sopihadi Shukri.

Berita Harian X