Khamis, 9 Ogos 2018 | 8:17pm
DR Mazliham menunjukkan Stadium Hoki UniKL. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
DR Mazliham menunjukkan Stadium Hoki UniKL. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Stadium dah siap!

KUALA LUMPUR: Skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mendapat semangat baru untuk mengharungi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2019 apabila bakal menggunakan stadium sendiri - Stadium Tengku Abdullah - yang siap dibina di Institut Malaysia Perancis (UniKL-MFI), Bangi.

Perkara itu disahkan Presiden UniKL, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud yang menyatakan pihaknya kini hanya menunggu pengiktirafan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sebelum stadium bernilai RM10 juta itu boleh mula beroperasi, September ini.

“Selepas menunggu hampir dua tahun, akhirnya stadium ini siap dibina dan akan dirasmikan pada 20 Ogos ini oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Canselor UniKL.

“Dan mulai musim depan ia akan menjadi gelanggang rasmi pasukan UniKL sekali gus kelab pertama di Malaysia yang mempunyai stadium sendiri,” katanya pada sesi temuramah khas di UniKL-MFI, hari ini.

Skuad Liga Perdana UniKL yang dikendalikan Arul Selvaraj sebelum ini berkongsi Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi bersama pasukan lain.

Stadium yang memiliki kapasiti 800 penonton itu mula dibina sejak Ogos 2015 dan bakal menjadi antara gelanggang hoki termoden di Malaysia dengan mengikut spesifikasi FIH.

Malah, kemudahan yang disediakan di stadium yang mendapat cetusan idea Tengku Abdullah itu juga bertaraf antarabangsa dengan terdapat papan skor LED, gimnasium, empat bilik persalinan, dua dewan tayang dan juga bilik sauna serta ruang kolam ais untuk terapi pemain.

Jelas Dr Mazliham, selain boleh digunakan skuad dan penuntut, stadium itu juga akan dibuka untuk sewaan orang ramai.

Tambahnya lagi, buat masa ini pihaknya sudah mendapat permohonan daripada skuad kebangsaan New Zealand untuk menjadikan Stadium Tengku Abdullah sebagai gelanggang persiapan terakhir sebelum ke Piala Dunia, November depan.

Untuk rekod, pada musim lalu, UniKL mencipta sejarah tersendiri apabila buat kali pertama menjulang kejuaraan Piala TNB sejak mula ditubuhkan pada 2009.

Berita Harian X