Khamis, 9 Ogos 2018 | 7:28pm
JAGUH baling tukul besi, Jackie Wong. - Foto Aswadi Alias

Tiba masa Jackie takluki Asia

KUALA LUMPUR: Kehebatan jaguh baling tukul besi, Jackie Wong di peringkat Asia Tenggara tidak boleh disangkal lagi namun atlet itu kini berpeluang menguji kemampuannya bertanding di Sukan Asia Indonesia minggu depan.

Menjadi kelompok terakhir atlet olahraga yang terpilih ke temasya itu, Jackie berkata, dia terkejut dengan peluang yang diberikan dan modul latihannya terpaksa diubah dalam tempoh singkat.

“Jurulatih (Gu Yuan) dan saya juga baru tahu. Justeru, beliau dan saya akan membuat perubahan mengenai program latihan kerana sebelum ini kami hanya melakukan latihan biasa yang bukan dikhususkan sebagai persiapan mana-mana pertandingan.

“Biarpun dalam masa singkat, saya harap boleh mara ke kelompok lapan terbaik nanti pada penampilan kali pertama saya ini,” katanya kepada NSTP.

Berumur 26 tahun, Jackie sebelum ini mencipta 12 rekod kebangsaan sejak mengambil bahagian dalam saingan kompetitif pada 2013.

Rekod kebangsaan yang terbaru diciptanya adalah di Terbuka Malaysia, Mei lalu apabila mencatat balingan 66.01 meter dan sebelum ini menamatkan kemarau 16 tahun emas acara baling tukul besi pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur sekali gus memperbaharui rekod temasya berkenaan.

Jackie mencatat 65.90m pada temasya itu tahun lalu bagi membaiki rekod yang dipegang atlet Filipina, Caleb Stuart yang dilakukan di Singapura 2015.

Catatan 66.01m yang dipegang Jackie bagaimanapun dilihat sukar meletakkannya di podium berdasarkan catatan pemenang pada Sukan Asia 2014 di Incheon yang menyaksikan atlet Tajikistan, Dilshod Nazarov merangkul emas dengan 76.82m.

“Saya tahu masa agak singkat bagi saya, namun apapun saya akan cuba membuat yang terbaik dan bertarung sedaya upaya bagi mengharumkan nama negara,” kata atlet kelahiran Sarikei, Sarawak itu.

Nama Jackie bersama dua lagi atlet olahraga - Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar) dan Iskandar Alwi (lompat bergalah) baru diluluskan untuk bertanding dalam Mesyuarat Pendaftaran Delegasi (DRM) di Jakarta pada Selasa lalu.

Berita Harian X