Sabtu, 21 Julai 2018 | 4:57pm

KRM sasar gangsa Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) meletakkan harapan skuad tujuh sebelah (7S) negara mampu melakar kejutan meraih pingat di Sukan Asia di Indonesia bulan depan.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya yakin anak buah mereka mampu meraih sekurang-kurangnya gangsa pada temasya peringkat benua itu.

"Walaupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak meletakkan sasaran, kita mencabar diri sendiri untuk raih pingat. Apa yang mereka pamerkan di Sukan SEA tahun lalu memberi keyakinan kepada kami walaupun ia kejohanan yang lebih kecil berbanding Sukan Asia," katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) KRM 2018 di sini, hari ini.

Pada temasya Sukan SEA 2017, skuad negara melakar kejutan meraih emas apabila menewaskan Singapura di final.

"Sasaran realistik adalah gangsa dan ia bakal menjadi pingat sulung kami di Sukan Asia," katanya.

Skuad negara kendalian bekas pemain All Blacks, Bradley Moni Mika diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Taiwan dan tuan rumah, Indonesia melengkapkan saingan yang menampilkan 11 pasukan keseluruhan.

mengulas mengenai agenda utama di AGM, Shahrul mengesahkan KRM lebih menumpukan kepada penyusunan kalendar pertandingan tempatan agar pemain berada dalam tahap terbaik apabila dipanggil menyertai skuad negara menghadapi pertandingan atau kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, KRM juga melahirkan rasa gembira apabila ragbi kembali dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada September selepas lapan tahun tersisih.

"Ahli gabungan mengalu-alukan perkara ini selepas kali terakhir rabgi pertadingkan pada temasya 2010 di Melaka. Malah Johor yang menjadi tuan rumah 2020 sudah  memutuskan ragbi akan tetap dipertandingkan," katanya.

Berita Harian X