Sabtu, 14 Julai 2018 | 6:46pm
PEMAIN boling senior, Sharon Koh beraksi ketika pusingan akhir step-ladder pada Kejohanan Boling Kebangsaan ke-42 di Sunway Megalanes, Petaling Jaya. - Foto Sairien Nafis
PEMAIN boling senior, Sharon Koh beraksi ketika pusingan akhir step-ladder pada Kejohanan Boling Kebangsaan ke-42 di Sunway Megalanes, Petaling Jaya. - Foto Sairien Nafis

Sharon masih berbisa

PETALING JAYA: Selepas beberapa tahun bergelut untuk mendapatkan kembali rentak permainannya, Sharon Koh akhirnya berjaya mendapatkan semula sentuhannya apabila merangkul gelaran juara pada Kejohanan Boling Kebangsaan ke-42 di Sunway Megalanes di sini hari ini.

Sharon, 31, yang pernah merangkul tiga gelaran yang sama - 2006, 2008, 2015 - menewaskan pemain elit negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dalam pusingan final step-ladder yang mendebarkan.

Sharon dan Syaidatul Afifah terikat 188-188 jatuhan pin dengan permainan diteruskan dengan dua tambahan frame namun kedua-dua pemain terikat sama dengan 40 jatuhan pin dan permainan ditentukan menerusi tambahan satu balingan.

Tuah ternyata berpihak kepada Sharon apabila memperoleh strike dengan Syaidatul Afifah pula memperoleh sembilan jatuhan pin.

"Ini kali pertama saya bermain di final dengan perlawanan terpaksa diteruskan hingga ke penentuan sebanyak dua kali.

"Saya gembira dengan kejayaan ini memandangkan saya berusaha keras dalam dua tahun kebelakangan ini untuk memperbaiki permainan. Kali terakhir saya memenangi gelaran pada ABF Thailand 2016 dan hanya kini memperoleh gelaran baharu," katanya yang membawa pulang trofi dan hadiah kemenangan RM3,000.

Biarpun berdepan dengan ramai pemain yang lebih muda dan berbakat, Sharon berkata dia dan pemain lain bekerjasama dengan baik sebagai satu pasukan.

"Bagi saya tidak ada status pemain senior atau pemain muda. Saya masih ingat pada Sukan Asia 2006, saya pernah menjadi pemain paling muda dalam skuad dan saya juga mempunyai hubungan yang baik dengan senior," katanya.

Sementara itu, Rafiq Ismail membawa pulang RM7,000 dan trofi selepas menjuarai kategori lelaki dengan melakukan 208 jatuhan pin berbanding lawannya, Timmy Tan yang memperoleh 179 jatuhan pin.

"Memang puas hati kali ini kerana tahun lalu saya tidak melepasi ke step-ladder. Dalam pusingan kelayakan pun saya hampir tidak dapat meneruskan kemaraan apabila sekadar berada di kedudukan 13 daripada 14 pemain yang akan melayakkan diri ke Masters," kata Rafiq yang merangkul gelaran kebangsaan kedua selepas 2015.

Berita Harian X