Sabtu, 14 Julai 2018 | 6:39pm
MANNY Pacquiao dan Lucas Matthysse. - Foto AFP
MANNY Pacquiao dan Lucas Matthysse. - Foto AFP

Perang psikologi Pacquiao, Matthysse 

KUALA LUMPUR: Legenda Filipina, Manny Pacquiao berkata, dia bersedia untuk merampas kembali tali pinggang welterweight apabila bertarung menentang juara Persatuan Tinju Dunia (WBA) dari Argentina, Lucas Matthysse esok. 

Pacquiao, satu-satunya petinju yang memenangi kejuaraan dunia dalam lapan kelas berbeza bermula di usia 23 tahun berkata, dia cukup bermotivasi tinggi untuk bertemu Matthysse. 

"Saya sudah bersedia. Semuanya terkawal. 

"Saya cukup bermotivasi dan begitu dahagakan kejuaraan," kata petinju berusia 39 tahun itu selepas proses mengira berat badan hari ini. 

Matthysse pula menegaskan dia berada pada tahap terbaik untuk menumbangkan Pacquiao. 

"Saya berada dalam prestasi terbaik dan cukup bersedia untuk perlawanan esok," katanya. 

Pacquiao mencabar  Matthysse untuk merebut gelaran tali pinggang welterweight WBA di Axiata Arena dengan menyedari kekalahan akan menjejaskan rekod kariernya. 

Pacquiao diminta bersara oleh rakan, keluarga serta pelatihnya, Freddie Roach selepas tewas perebutan tali pinggang Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) kepada petinju dari Australia,  Jeff Horn setahun lalu. 

Roach digantikan oleh rakan lama Pacquiao, Buboy Fernandez dan andai kata tewas sekali lagi kali ini, ia mungkin menyaksikannya terus bersara. 

Namun sekiranya mencatat kemenangan, Pacquiao yang mempunyai rekod 59-7-2 dan 38 pukulan KO akan menyaksikannya muncul juara dunia welterweight buat kali kelima sekali gus mengukuhkan status legendanya yang bakal meraikan ulang tahun ke-40, Disember depan. - AFP

Berita Harian X