Khamis, 12 Julai 2018 | 5:54pm

Larian sasar 50,000 peserta

KUALA TERENGGANU: Seramai 50,000 peserta pelbagai kategori bakal menyertai Larian Jambatan Sultan Mahmud yang dijadualkan berlangsung pada 8 September depan.

Selain peserta tempatan yang bakal menyertai aktiviti tahunan dalam kalendar kerajaan negeri itu, peserta luar negara juga akan turut memeriahkan larian itu.

Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Kama Rezuan Kamaruddin berkata, sehingga kini seramai 43,000 peserta pelbagai kategori dari dalam dan luar negara sudah mendaftar untuk menyertai larian itu.

"Kita menyasarkan seramai 50,000 peserta  yang akan menyertai larian itu sebagaimana tahun lalu membabitkan 22 kategori yang akan dipertandingkan selain menyasarkan seramai 5,000 peserta dari luar Terengganu berbanding 4,000 peserta luar tahun lalu.

"Antara kategori berkenaan termasuk terbuka kepada peserta dari dalam dan luar negara dengan larian sejauh 42 dan 21 kilometer. Selain itu kategori terbuka kepada pelajar sekolah sejauh 8 km dan kategori Fun Run sejauh 5 km turut diadakan.

"Larian akan dimulai dan berakhir di Taman Awam Pantai Batu Buruk dan tarikh tutup pendaftaran pada 5 Ogos depan, mereka yang berminat boleh mendaftar di Batu Buruk Beach Resort bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

"Majlis pelancaran larian ini akan diadakan pada 25 Julai ini yang bakal dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa  Pembangunan Sukan, Belia Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Wisma Darul Iman pada jam 2 petang," kata Kama Rezuan.

Berita Harian X