Ahad, 8 Julai 2018 | 12:54pm
PEMAIN golf dari Korea Selatan, Kim Sei-young. - Foto AFP
PEMAIN golf dari Korea Selatan, Kim Sei-young. - Foto AFP

Sei-young terus cabar rekod LPGA

LOS ANGELES: Pemain golf dari Korea Selatan, Kim Sei-young menyamai rekod catatan selepas 54 lubang aksi LPGA apabila melakukan 24 bawah par keseluruhan yang membolehkannya mendahului lapan pukulan di kejohanan Thornberry Creek LPGA Classic.

Kim melakukan satu eagle dan enam birdie ketika melakukan lapan di bawah par di pusingan par-72 di lapangan Thornberry yang terletak di Oneida, Wisconsin.

Dia memulakan harinya dengan mendahului empat pukulan dan sebaik memulakan pusingan dengan satu eagle di lubang ketiga, dia kemudiannya menganjak ke 24 di bawah par kejohanan dengan melakukan empat pukulan birdie berturut-turut dari lubang ke-13 hingga 16.

"Saya rasa ia seperti yang terbaik pernah saya lakukan," kata Sei-young yang menyamai rekod pemarkahan 54 lubang dengan 24 di bawah par dilakukan Annika Sorenstam di Mizuno Classic 2003 - yang kini dikenali sebagai Toto Japan Classic.

Percubaan birdie dilakukan Sei-young pada lubang ke-17 untuk memecahkan rekod berkenaan bagaimanapun tidak berhasil.

Ini adalah kali kedua Sei-young, 25, menyamai rekod pemarkahan Annika. Kutipan dengan 27 di bawah par keseluruhan ketika menjuarai Founders Cup 2016 di Phoenix menyamai rekod 72 lubang LPGA yang dilakukan bintang hebat Sweden itu pada 2001.

Pemain Korea Selatan Amy Yang mengkori rapat Sei-young selepas melakukan 67 pukulan untuk 200 keseluruhan. Amy melakukan lima birdie tanpa bogey dan mempunyai kelebihan satu pukulan di hadapan bekas nombor satu dunia, Lydia Ko, Anna Nordqvist dari Sweden dan Emma Talley (Amerika Syarikat). - AFP

Berita Harian X