Selasa, 19 Jun 2018 | 2:05pm
CASTER Semenya. - Foto AFP
CASTER Semenya. - Foto AFP

Semenya cabar peraturan jantina IAAF

JOHANNESBURG: Pelari jarak jauh Afrika Selatan, Caster Semenya akan mencabar peraturan klasifikasi wanita yang dikenakan oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) di mahkamah tinggi sukan, kata peguamnya, semalam.

Juara dua kali Olimpik dan tiga kali kejohanan dunia dalam acara 800 meter (m) itu perlu mengambil ubat untuk menurunkan kadar testosterone yang dihasilkan secara semula jadi daripada paras normal, di mana IAAF menganggap ia adalah kelebihan yang tidak adil.

Firma undang-undang Norton Rose Fulbright dalam satu kenyataan berkata cabaran undang-undang itu akan difailkan pada Isnin di Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan (CAS) di Lausanne.

"Semenya, seperti semua atlet, berhak bersaing dengan cara dia dilahirkan tanpa diwajibkan mengubah badan dengan apa-apa kaedah perubatan," kata Norton Rose Fulbright

IAAF berkata keputusan itu berdasarkan kajian dan pemerhatian daripada saintis yang menunjukkan bahawa wanita di atas paras normal atau lelaki biasa, mempunyai paras testosterone sama dan ada kelebihan 12 peratus daripada segi prestasi berbanding atlet wanita biasa.

"Kelebihan ini (yang diterjemahkan, dalam olahraga, kepada perbezaan antara 10-12 peratus di dalam semua disiplin), menjadikan persaingan di antara lelaki dan wanita sebagai tidak bermakna dan tidak adil kerana orang dewasa bersaing dengan kanak-kanak," kata IAAF menerusi kenyataan emel.

Badan olahraga itu menambah bahawa ia bersedia mempertahankan peraturan baharu di CAS di diminta berbuat demikian.

Kontroversi tidak pernah berjauhan daripada Semenya, kini berusia 27 tahun, sejak kejayaan remajanya dalam acara 800m dalam Kejohanan Dunia 2009 di Berlin di mana kekuatan tulen untuk kemenangannya mencetuskan tanda tanya mengenai jantinanya.

Testosterone adalah hormon yang meningkatkan jisim otot, kekuatan dan haemoglobin yang memberi kesan kepada daya ketahanan. Peraturan IAAF yang berkuat kuasa pada 1 November tidak ditujukan kepada Semenya tetapi dia akan terkesan dengannya.

Media dan ahli politik Afrika Selatan bersatu untuk mempertahankannya dan melabelkan tindakan IAAF sebagai "memburu ahli sihir".

"Saya hanya mahu berlari secara semula jadi, seperti saya dilahirkan. Adalah tidak adil untuk mengatakan saya perlu berubah. Adalah tidak adil orang mempersoalkan siapa saya.

"Saya adalah Mokgadi Caster Semenya. Saya adalah wanita dan saya laju," kata Semenya dipetik dalam kenyataan Norton Rose Fulbright. - REUTERS

Berita Harian X