Rabu, 6 Jun 2018 | 8:57pm
S SHAMALA

MHC jawab isu Piala Dunia Wanita 

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka enggan membuat bidaan bagi menganjurkan Kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki dan Wanita 2022 secara serentak.

Menurut Timbalan Presiden MHC, Datuk Dr S Shamala, ini kerana setakat ini pihaknya hanya menerima pelawaan tidak formal daripada Persekutuan Hoki Dunia (FIH) untuk menjadi tuan rumah edisi 2022 bagi lelaki sahaja.

"Untuk menjadi tuan rumah secara serentak rasanya tiada masalah tetapi mungkin kita akan mengalami masalah dari segi kekangan infrastruktur. 

"Tetapi dari perbincangan awal bersama FIH mereka hanya menawarkan kami untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 untuk lelaki saja sebab kalau kita lihat untuk edisi 2018 pun diadakan berasingan iaitu wanita di London dan lelaki India.

"Setahu saya niat itu (untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Lelaki 2022) disampaikan FIH kepada Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu perbualan santai antaranya dengan wakil FIH baru-baru ini," kata Shamala ketika ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia, hari ini.

Kenyataannya itu sebagai menjawab gesaan bekas pemain hoki kebangsaan untuk MHC mempertimbangkan semula keputusan untuk hanya melobi hak sebagai tuan rumah Piala Dunia Lelaki 2022 berbanding janji awal badan induk itu untuk melihat peluang menganjurkannya secara serentak.

Bagaimanapun, Shamala tidak menolak untuk mengetengahkan semula perkara ini kepada MHC selepas menganggapnya sebagai satu idea yang baik demi membangunkan hoki wanita di negara ini.

"Ia cadangan yang baik untuk bagi peluang yang adil buat hoki wanita, tetapi bagaimanapun kami perlu mempertimbangkan beberapa faktor dulu sebelum membida untuknya."

Mengulas mengenai proses bidaan bagi menjadi tuan rumah Piala Dunia Lelaki 2022, Pusingan Akhir Siri Dunia Lelaki 2019 dan Pusingan Akhir Siri Dunia Wanita 2021, Shamala berkata beberapa proses sedang diteliti MHC ketika ini.

"Pertama sekali kita akan membuat permohonan daripada menteri, dalam masa sama kita juga akan menilai dokumen bidaan dan mempersiapkan dokumen berkenaan.

"Proses itu juga akan membabitkan agensi lain supaya kita boleh mencari dan menyiapkan satu kertas kerja yang mampu memastikan kita memenangi hak penganjuran ke atas ketiga-tiga kejohanan yang kita sasarkan itu," katanya.

Sebagai rekod, satu-satunya Piala Dunia Wanita yang pernah dianjurkan Malaysia adalah pada 1983 manakala untuk lelaki menyaksikan kita diberi hak sebanyak dua kali sebagai tuan rumah pada edisi 1975 dan 2002.

Berita Harian X