Jumaat, 25 Mei 2018 | 5:02pm
ISKANDAR ALWI

Iskandar bimbang isu berbangkit halang ke Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Isu berbangkit mungkin akan menyekat penyertaan atlet lompat bergalah negara Iskandar Alwi ke temasya Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Biarpun dia sudah melepasi syarat kelayakan secara merit namun kata-kata tidak enak mula kedengaran. Ditambah dengan aksi yang tidak menentu mungkin menyukarkan impiannya bertanding di Indonesia.

"Kalau nak ikutkan saya sudah melepasi syarat kelayakan. Tapi ada isu dan cakap-cakap mula kedengaran mengatakan sudah empat tahun orang yang sama lompat tapi masih macam itu.

"Jadi saya tidak boleh komen lanjut kerana selagi nama tidak diumumkan oleh KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) saya tidak boleh berbuat apa-apa selain tunggu dan lihat," katanya.

Iskandar mengakui dia kini sedikit kecewa dengan prestasinya yang tidak menunjukkan peningkatan selepas Sukan Komanwel.

"Saya sendiri tidak pasti kenapa tiada peningkatan selepas memecah rekod kebangsaan awal tahun ini.

"Mungkin kerana terlalu banyak fikir selepas Komanwel antara sebab prestasi saya mendatar. Tapi saya tidak salahkah sesiapa, semua salah diri sendiri," katanya.

Iskandar hanya mampu melepasi ketinggian 5.0 meter di Gold Coast, kejohanan olahraga Terbuka Malaysia dan kejohanan di Korea Selatan, minggu lalu.

Mac lalu, dia memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan 5.31m pada kejohanan olahraga All Comers FTKLAA.

Berita Harian X