Selasa, 22 Mei 2018 | 6:19pm
NUR ELI ELLINA AZMI
NUR ELI ELLINA AZMI

Eli boleh jumpa saya: Shapawi

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail tidak mahu isu membabitkan dakwaan bekas atlet gimnastik artistik negara, Nur Eli Ellina Azmi berpanjangan.

   Malah beliau bersedia bertemu Eli bagi membincangkan segala isu berbangkit agar ia dapat diselesaikan secara baik demi kemajuan sukan negara.

  Shapawi yang ditemui berkata, isu membabitkan Eli mula timbul kerana ia berkisar kepada proses pemilihan atlet ke dalam program di bawah kendalian MSN selepas tamat Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017). 

  "Ia berlaku dalam tempoh 'cooling period' yang mana selepas tamat KL2017 tiada satupun atlet ditawarkan kontrak.

  "Sejak dari September tahun lalu tiada sebarang kontrak dikeluarkan sehinggalah November.

   "Pemberian elaun hanya akan berlaku apabila atlet ditawarkan kontrak dan pada ketika itu hanya atlet ke Komanwel menerima elaun dan Eli tidak terpilih.

  "Eli seharusnya tahu prosedur ini kerana dia bersama MSN sejak 2008," katanya.

  Shapawi menjelaskan MSN bersama Persekutuan Gimnastik Malaysia dalam satu mesyuarat pada November lalu menamakan tiga gimnas iaitu Farah Ann Abdul Hadi, Tracy Ang dan Tan Ing Yueh  ke temasya Komanwel di samping pemilihan Nur Azira Aziri sebagai gimnas keempat atas beberapa faktor.

  Tegasnya, pemilihan atlet ke temasya utama seperti Komanwel bukan di bawah bidang kuasa MSN dan ia adalah hak mutlak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan masing-masing.

  Katanya, MSN hanya membantu menyediakan atlet supaya lebih mantap dan bersedia untuk bersaing ke peringkat tertinggi.

  "Saya mahu perkara ini diselesaikan secara baik. Jika boleh tidak mahu perkara ini berpanjangan. Eli boleh datang bertemu dengan saya dan saya boleh dengar penjelasannya," katanya.

Berita Harian X