Jumaat, 18 Mei 2018 | 10:41am
MARC Leishman. - Foto AFP

Leishman cipta kejutan 61 pukulan

LOS ANGELES: Pemain Australia, Marc Leishman melakukan dua eagle untuk merekodkan 10 bawah par 61, sebentar tadi sekaligus mendahului saingan Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) di Dallas dengan kelebihan tiga pukulan.

Leishman, yang mempamerkan prestasi terbaik dalam karie Jelajah PGA, merakam eagle pada par lima, di lubang kelima di Trinity Forest, - lapangan baharu dekat Dallas yang menjadi tuan rumah buat pertama kalinya.

Dia melakukan birdie berturut-turut di lubang keenam dan ketujuh sebelum sekali lagi melakukan birdie pada lubang ke-10, 11, 12. Leishman terus cemerlang apabila merakam eagle pada par lima, lubang ke-14.

Pemain ini menambah satu lagi birdie pada par tiga lubang ke-17 untuk mencatat rekod baharu kejohanan dengan kelebihan satu pukulan.

"Saya sentiasa mengingatkan diri supaya tidak membiarkan saya berasa terlalu selesa. Ia terbukti berkesan dan membuatkan saya gembira," kata pemain berusia 34 tahun ini yang juga juara tiga kali Jelajah PGA.

"(Pukulan) 61..saya boleh menerimanya," kata Leishman, yang pernah merekodkan pencapaian 62 pukulan sebanyak empat kali dalam kariernya.

Dia kini mendahului tiga pukulan di depan pemain Amerika, JJ Spaun dan Jimmy Walker.

"Lapangan ini kelihatan agak mudah, tetapi jika gagal membacanya dengan baik, kamu akan bermasalah," kata Leishman ketika ditanya apakah kunci kejayaannya mengekalkan rentak di kebanyakkan lubang. - AFP

Berita Harian X