Isnin, 14 Mei 2018 | 12:06pm
JUSTIN Thomas dari Amerika Syarikat ketika beraksi pada Kejohanan THE PLAYERS di Stadium Course di TPC Sawgrass, Florida, 12 Mei lalu. - Foto AFP
JUSTIN Thomas dari Amerika Syarikat ketika beraksi pada Kejohanan THE PLAYERS di Stadium Course di TPC Sawgrass, Florida, 12 Mei lalu. - Foto AFP

Thomas pemain nombor 1 dunia

PONTE VEDRA BEACH, Amerika Syarikat: Justin Thomas meraikan kejayaannya muncul pemain ke-21 di tangga nombor satu ranking golf dunia selepas berkongsi kedudukan ke-11 pada Kejuaraan Pemain-pemain, awal pagi tadi.

Thomas, 25, merampas kedudukan itu daripada rakan senegara dari AS, Dustin Johnson, yang mengungguli ranking selama 64 minggu sejak memenangi Terbuka Genesis di Los Angeles, tahun lalu.

Johnson memulakan aksi di TPC Sawgrass menyedari ancaman daripada pemain di ranking nombor 2 hingga 5 dunia namun pemain ranking kedua Thomas akhirnya melonjak ke puncak.

Thomas melengkapkan minggunya dengan catatan pusingan akhir 66 untuk berkongsi tangga ke-11 dengan lima pemain lain dengan catatan keseluruhan 11 bawah par 277, tujuh pukulan di belakang pemenang Webb Simpson.

Johnson memerlukan birdie pada lubang terakhir untuk berkongsi kedudukan dengan Thomas dan kekal di tangga nombor satu namun pukulan keduanya tersasar ke green dalam laluan mencatat par.

Dia menamatkannya dengan 72 dan berkongsi tangga ke-17 dengan 10 bawah par 278.

"Ia terlalu bermakna, tapi ia sesuatu yang saya mahukan bagi tempoh yang lama, bukannya hanya sekali," kata Thomas.

Thomas memenangi kejuaraan utama sulungnya pada Kejuaraan PGA, Ogos lalu. Dia menang lapan kali dalam Jelajah PGA. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X