Sabtu, 12 Mei 2018 | 11:37am
WEBB Simpson menyamakan rekod lapangan 63 membantunya mendahului lima pukulan pada Kejuaraan Pemain-pemain. - Foto EPA

Simpson samakan rekod lapangan

PONTE VEDRA BEACH, Amerika Syarikat: Percubaan Webb Simpson untuk mencatat 59 gagal apabila bolanya masuk ke kolam yang memagari green lubang 17 awal pagi tadi, namun kejayaan menyamakan rekod lapangan 63 membantunya mendahului lima pukulan pada Kejuaraan Pemain-pemain.

Bekas juara Terbuka AS, Simpson, 32, mencetus keghairahan pegawai kejohanan apabila dia membenam birdie enam lubang berturut-turut dari lubang ke-11 hingga ke-16 di TPC Sawgrass, mengumpul 17 bawah par sekali gus mendahului tujuh pukulan di depan pemain lain.

Namun pukulan tee pada lubang ke-17 par-tiga terkena dinding kayu di sekeliling green itu, melantun ke udara sebelum jatuh dan bergolek ke dalam air.

Simpson bermain pukulan ketiganya dari zon drop dalam laluan catatan double-bogey lima.

Ia satu-satunya kecacatan pusingan Simpson yang termasuk eagle pada lubang kedua serta sembilan birdie.

Catatan Simpson 15 bawah par 129 menyamai rekod kejohanan bagi 36 lubang dilakar Jason Day pada 2015 dan memberikannya pendahuluan lima pukulan di depan pemain Afrika Selatan, Charl Schwartzel (66), Danny Lee dari New Zealand (66) dan Patrick Cantlay (68).

"Apabila anda bertanding dalam kejohanan besar, anda cuba fokus sebaik mungkin, tapi dalam sesetengah keadaan mungkin di lubang 13 hari ini, anda mula berasa seperti kanak-kanak, bagaikan tertawa," kata Simpson, catatan enam birdie berturut-turutnya juga menyamai rekod kejohanan.

"Semuanya masuk. Anda berasa tidak kira apa pun, anda akan melakukannya dan saya membesar bermain di lapangan golf yang mudah, jadi ia mengingatkan saya kembali berada di kampung halaman, melakukan catatan rendah.

"Pada masa sama anda berada di TPC Sawgrass, jadi anda tahu kesukaran di mana-mana, seperti anda lihat saya di lubang 17.

"Tapi ia satu hari yang menyeronokkan. Ia sesuatu yang jarang berlaku sebagai pemain golf apabila semuanya menjadi, pukulan drive, permainan iron, pukulan chip dan putt dan hari ini segala-galanya hadir bersama."

Ramai juga pemain ternama yang tidak boleh menyatakan perkara sama.

Tiger Woods berpuas hati dengan satu bawah par 71 dan kemudian menanti penuh debaran sepanjang petang untuk mengetahui sama ada dia melepasi had kelayakan satu bawah par.

Jordan Spieth (68) dan Justin Thomas (70), turut beraksi pada hujung minggu manakala Rory McIlroy, Hideki Matsuyama, Rickie Fowler dan Phil Mickelson semuanya gagal. - AFP

Berita Harian X