Jumaat, 11 Mei 2018 | 8:38am
DUSTIN Johnson. - Foto AFP

Johnson bermula garang

PONTE VEDRA BEACH, Amerika Syarikat: Dustin Johnson memberi amaran dia tidak akan melepaskan status pemain nombor satu dunia tanpa berjuang selepas mencatat 66 sekali gus berkongsi pendahulu pusingan pertama Kejuaraan Pemain-pemain PGA AS, awal pagi tadi.

Catatan enam bawah par Johnson adalah keputusan terbaik pusingan pertamanya dalam Jelajah PGA bagi tempoh 13 bulan yang menyaksikannya menyertai juara Terbuka AS dan rakan senegara Webb Simpson serta pemain Sweden, Alex Noren dalam senarai pendahulu di Ponte Vedra di Florida.

Empat pemain termasuk juara bertahan Kim Si Woo dari Korea Selatan, berkongsi tangga keempat dengan lima bawah par 67.

Turut dalam kelompok lima bawah par pemain Amerika berusia 26 tahun, Keith Mitchell yang menggantikan Paul Casey yang cedera dengan pemain kelahiran Tennessee, Mitchell memulakan pusingan membenam empat birdie berturut-turut.

Johnson yang berusia 33 tahun memulakan pusingannya dari lubang ke-10 dan mendahului apabila mengumpul enam bawah par selepas 11 lubang namun hanya berpuas hati dengan par dalam tujuh lubang terakhir.

"Saya berasa ia hari yang amat mantap, saya memukulnya dengan bagus, melakukan banyak green," kata Johnson.

"Permainan iron saya tidak begitu bagus, tapi masih mampu meletakkan bola di green dan menggunakan putter dengan amat baik."

Johnson memulakan aksi kejohanan bernilai AS$11 juta (RM43.4 juta) itu dengan empat pemain mampu merampas kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia.

"Setiap minggu Justin (Thomas) semakin menghampiri, dia sudah lama mengekori saya, jadi setiap minggu saya sedar ada peluang seseorang akan mengatasi saya," ujar Johnson.

"Sudah pasti saya mahu kekal di sana, tapi jika seseorang mengatasi saya ia tidak akan mengubah apa-apa, saya tetap perlu kembali ke minggu berikutnya dan cuba merampasnya kembali.

"Jadi, minggu ini jika saya bermain baik, saya masih pemain nombor satu. Jika tidak, seseorang akan memintas saya, tapi saya OK."

Bagaimanapun, pemain nombor dua dunia Thomas mencatat satu atas par 73 manakala pemain nombor empat Jordan Spieth bergelut untuk menamatkan pusingan dengan tiga atas par 75. - AFP

Berita Harian X