Ahad, 6 Mei 2018 | 6:30pm
PELUANG skuad ragbi negara untuk merebut slot ke Piala Dunia 2019 di Jepun sebagai tipis. - Foto BERNAMA
PELUANG skuad ragbi negara untuk merebut slot ke Piala Dunia 2019 di Jepun sebagai tipis. - Foto BERNAMA

Peluang sukar buat Malaysia

KUALA LUMPUR: Peluang pasukan ragbi Malaysia mara ke pusingan playoff dilihat agak samar selepas dua kekalahan, masing-masing di tangan Korea Selatan dan Hong Kong dalam Kejohanan Ragbi Asia 2018.

Malaysia yang julung kali tampil di kejohanan peringkat tertinggi benua Asia itu mengalami kekalahan pertama selepas tewas kepada Korea Selatan 10-35, minggu lalu sebelum dibelasah 8-67 di tangan Hong Kong 67-8 dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Malaysia kini berada di tangga tercorot apabila gagal mengutip sebarang mata, manakala Hong Kong serta Korea Selatan di tempat pertama dan kedua dengan lima mata.

Ketua pasukan ragbi negara, Mohd Shahir Ashraf Rosli menyifatkan peluang Malaysia untuk merebut slot ke Piala Dunia 2019 di Jepun sebagai tipis dengan Hong Kong sebaliknya dilihat berpeluang cerah.

"Peluang untuk kami amat sukar, kerana saya rasa kali ini, kelebihan milik Hong Kong. Hong Kong mendominasi perlawanan dan saya rasa untuk tahun ini persediaan mereka lebih baik, apatah lagi tanpa kelibat Jepun.

"Jadi saya rasa peluang mereka untuk ke pusingan seterusnya dan ke Piala Dunia lebih cerah," kata Shahir.

Selepas ini Malaysia dijadual beraksi dalam perlawanan timbal balik bertemu Korea Selatan di Stadium Asia Namdong, Incheon pada 19 Mei selain menentang Hong Kong di Hong Kong Football Club (26 Mei).

Mengulas mengenai aksi di tempat lawan, Shahir berkata buat masa ini fokus pasukan adalah proses pemulihan terlebih dulu.

"Kita akan fokus terhadap pemulihan dulu tapi saya rasa jurulatih sudah kenal pasti kekuatan dan kelemahan untuk bertemu Korea.

"Jadi saya harap boleh berikan saingan kerana kita perlukan kemenangan sebelum bertemu Hong Kong nanti," katanya yang bersetuju sekiranya jurulatih menggabungkan kudrat pemain 7 dan 15 sebelah.

Skuad negara layak beraksi dalam ARC 2018 yang juga dikenali sebagai Liga Premier Ragbi Asia selepas mengekalkan kejuaraan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen 1 tahun lalu dengan menundukkan Sri Lanka 22-9 di Padang Ipoh, Perak.

Berita Harian X