X
Sabtu, 24 Februari 2018 | 2:23pm
NICOL tewas kepada Hania dalam pertarungan yang berlangsung lima set.
NICOL tewas kepada Hania dalam pertarungan yang berlangsung lima set.

Nicol kalah pusingan pertama Terbuka Windy

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy negara Datuk Nicol David berdepan kekalahan terbesar dalam kariernya sejak 2002 apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama apabila tewas di Kejohanan Terbuka Windy City.

Nicol yang berasal dari Pulau Pinang itu dikejutkan pemain remaja Mesir, Hania El Hammamy dalam pertarungan yang berlangsung lima set.

Perlawanan yang berlangsung di Chicago Amerika Syarikat itu menyaksikan Hania yang berusia 17 tahun itu mempamerkan peningkatan memberangsangkan apabila bangkit menewaskan bekas pemain nombor satu dunia 11-8, 11-8, 4-11, 3-11, 9-11 dalam pertarungan yang berlangsung selama 54 minit.

Juara dunia lapan kali itu dilihat berada berada di laluan selesa untuk melakarkan kemenangan apabila mendahului lawan 2-0.

Bagaimanapun Hania bangkit mempamerkan aksi penuh bertenaga mudah menjinakkan Nicol sekali gus memastikan kemenangan mutlak miliknya dalam usahanya memburu gelaran pertama siri Jelajah PSA.

"Ia satu perlawanan yang menarik apabila berdepan legenda seperti Nicol.

"Saya sukar untuk percaya bahawa kemenangan milik saya. Saya ketinggalan 0-2 namun cuba berfikiran positif untuk tidak membiarkan diri saya lemah.

"Saya perlu fokus dan bermain sebaik mungkin. Saya berkata pada diri sendiri bahawa saya bermain menentang pemain yang hebat, saya ketinggalan 0-2 dan tidak bermain dengan baik jadi saya apa yang perlu teruskan perlawanan dan terus positif," katanya yang melakarkan kemenangan pertama menewaskan pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Untuk rekod, Nicol sebelum ini terkandas seawal pusingan pertama pada 16 tahun lalu ketika beraksi pada siri dunia di Terbuka Seattle pada 2002.

Hania akan bertemu Alison Waters yang menewaskan pemain Hong Kong Joey Chan di pusingan kedua.

Saingan pemain negara di Terbuka Windy terkubur apabila dua pemain lelaki negara Ng Eain Yow dan Mohd Nafiizwan Adnan gagal melepasi pusingan kelayakan.

Berita Harian X