Khamis, 25 Januari 2018 | 5:53pm
ATLET gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi anatara gimnas yang sudah tersenarai bagi menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia April depan. - Foto Owee Ah Chun
ATLET gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi anatara gimnas yang sudah tersenarai bagi menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia April depan. - Foto Owee Ah Chun

Nataliya pening pilih gimnas terakhir

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad gimnastik artistik wanita, Nataliya Sinkova mengakui sukar memilih seorang lagi gimnas bagi menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia April depan.

Jurulatih dari Ukraine itu berkata, beliau akan mengadakan dua ujian pemilihan sebagai jalan terakhir dengan ujian pertama pemilihan akan diadakan esok dan satu lagi tarikh bagi ujian masih belum diputuskan.

"Gimnas yang keempat mestilah sekuat tiga lagi (yang sudah dipilih) untuk membantu mendapatkan setinggi mata yang mungkin sekali gus membantu pasukan mara ke final.

"Jika gimnas itu dapat memenuhi standard tiga gimnas yang sudah dipilih, kami akan pilih dia tetapi buat masa ini kami ada tiga gimnas yang hampir sama tahap mereka. Sebab itu sukar membuat pilihan yang terbaik," katanya ketika sesi latihan di sini.

Buat masa ini, tiga gimnas yang sudah tersenarai adalah Farah Ann Abdul Hadi, Tracie Ang dan Tan Ing Yueh sementara tiga lagi gimnas - Nur Azira Aziri, Lavinia Jayadev dan Nur Eli Ellina Azmi akan merebut satu lagi kekosongan.

"Kekuatan Tracy, Ing Yueh dan Farah hampir sama, cuma siapa bertuah pada hari pertandingan akan dapat nombor satu dan boleh jadi hari ini Farah atau keesokan harinya Tracy pula," katanya.

Sementara itu, Farah berkata dia tidak mempunyai pilihan mengenai gimnas mana yang mampu mengisi slot terakhir kerana merasakan Azira, Lavinia dan Ellina mempunyai kelebihan masing-masing.

"Saya sudah menyertai kejohanan dengan mereka dan ketiga-tiganya ada kekuatan masing-masing.

"Kami bukan sekadar rakan sepasukan tetapi kami adalah satu keluarga gimnastik. Saya sedih kerana hanya seorang sahaja boleh pergi dan berharap kejohanan lain semua orang boleh pergi," katanya.

Berita Harian X