Selasa, 12 Disember 2017 | 9:03pm

Taekwondo Malaysia terkejut keputusan Khairy

KUALA LUMPUR: Pengguguran taekwondo daripada senarai 19 sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN) mengejutkan pegawai-pegawai Taekwondo Malaysia (TM) yang menyifatkan keputusan itu dibuat tanpa mendapat gambaran sebenar situasi mereka.

Pengarah Teknikal TM R Dhanaraj berkata, mereka terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Khairy Jamaluddin selepas Menteri Belia dan Sukan itu mempengerusikan mesyuarat ahli lembaga pengarah MSN hari ini.

"Saya rasa ia tidak sepatutnya berlaku," kata Dhanaraj merujuk kepada alasan pergelutan kuasa di dalam taekwondo seperti dinyatakan Khairy. "Saya rasa keputusan ini dibuat tanpa menteri mendapat maklumat yang tepat.

"Tidak benar seperti didakwa yang kami menghalang sesiapa menyertai kami, tetapi ia kerana mereka tidak mahu menyertai kami. Kami percaya mereka yang terbabit perlu menyertai TM sebagai badan induk sukan itu dan membentuk satu organisasi.

Dhanaraj merujuk kepada keputusan dilakukan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) pada tahun 2010 yang mengiktiraf TM sebagai badan tunggal yang menyelaraskan sukan taekwondo di Malaysia dan menjadi ahli gabungan Persekutuan Taekwondo Dunia.

TM ditubuhkan selepas badan induk sebelumnya, Persatuan Taekwondo Malaysia dibubarkan oleh PPS akibat masalah dalaman dan kerana menghalang perkembangan sukan di negara ini.

Persatuan lain seperti Persekutuan Taekwondo Malaysia dan Persatuan Kelab-kelab Taekwondo Malaysia serta ahli gabungan masing-masing dijemput untuk menyertai TM, dengan Senator Datuk Seri S A Vigneswaran sebagai Presiden.

Menurut Dhanaraj, TM kekal sebagai satu-satunya badan taekwondo yang layak menamakan atlet untuk pertandingan di peringkat antarabangsa termasuk sukan Olimpik, Asia dan Sukan SEA.

"Hanya atlet-atlet di bawah TM yang boleh mewakili negara. Kami turut menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun termasuk kejohanan dan kursus kejurulatihan.

"Saya rasa keputusan ini berpunca daripada agenda mereka yang mahu menjatuhkan TM. Kami sering menekankan yang taekwondo sepatutnya bersatu tetapi sebahagiannya memilih untuk kekal tersisih dan merengek apabila tidak dapat masuk.

"Masalahnya ialah mereka ini hanya berminat menikmati imbuhan daripada badan induk sukan negara."

Selepas memenangi tiga pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur dan menamatkan kemarau lapan tahun kilauan emas, Dhanaraj berkata TM melakukan tugas mereka dengan baik termasuk menggunakan dana sendiri untuk mempersiapkan atlet bagi kejohanan-kejohanan penting.

"Kami membelanjakan RM250,000 untuk menghantar atlet ke Korea Selatan bagi menjalani latihan selama lima bulan di sana, dan hasilnya tiga pingat emas diraih di Sukan SEA.

"Sudah tentu kami perlu menerangkan situasi sebenar kepada menteri. Kami kesal tidak ada siapa pun menghubungi kami untuk mendapatkan penjelasan sebelum keputusan pengguguran taekwondo dibuat," katanya.

Berita Harian X