Isnin, 20 November 2017 | 10:25am
AUSTIN Cook (kiri) memperagakan trofi kemenangan bersama Davis Love III selepas menjuarai RSM Classic, pagi tadi. - Foto AFP

Cook juara RSM Classic

MIAMI: Pemain Amerika Syarikat (AS), Austin Cook memenangi gelaran pertama Jelajah AS PGA, dengan melakukan birdie pada tiga daripada empat lubang terakhir untuk menjuarai RSM Classic, pagi tadi.

Cook merakam tiga di bawah par 67, di lapangan Seaside di Sea Island, Georgia sekali gus menamatkan saingan dengan kelebihan empat pukulan mengatasi rakan senegara, J.J. Spaun dengan keseluruhan 21 di bawah par.

"Ia sangat bermakna untuk saya. Kamu selalu fikir kamu boleh melakukannya tetapi untuk bermain dan memberikan prestasi terbaik, ia sesuatu yang menakjubkan," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Pemain dari Arkansas ini menjadi pemain keempat berturut-turut yang memenangi kejohanan untuk kali pertama dalam saingan PGA.


Aksi Austin Cook merakam tiga di bawah para 67, di lapangan Seaside di Sea Island. - Foto AFP

Cook yang akan melonjak ke ranking 150 daripada 302 dunia, berkelebihan tiga pukulan sebelum pusingan akhir bermula dan tidak tidur lena memikirkan mengenai apakah makna kejayaan itu dalam kerjayanya.

Spaun yang bermula dengan sembilan lubang di belakang melakukan birdie bagi memberi tekanan kepada Cook yang ketika itu hanya berkelebihan satu pukulan, tetapi bogey yang dilakukan di lubang 11 memastikan pencabarnya itu terus selesa di depan dalam keadan cuaca yang berangin.

Cook melakukan birdie dari jarak tiga kaki pada par 5 di lubang ke-15, menjatuhkan putt birdie 14 kaki pada lubang ke-17 dan menutup saingan dengan pukulan dari jarak 14 kaki lagi untuk meraih kemenangan penuh bergaya.


J.J. Spaun ketika beraksi di RSM Classic. - Foto AFP

"Apabila sesuatu yang teruk berlaku, saya dapat mengatasinya dan kekal di situ," katanya.

"Rasa gementar dan segala-galanya saya rasakan di dalam (tekanan). (Selepas) Mempunyai kelebihan tiga pukulan ketika memasuki lubang ke-18, saya berasa selesa dengannya," kata Cook.

Seorang lagi pemain AS, Brian Gay melakukan eagle pada dua daripada empat lubang terakhir untuk mencatat 68 dan menamatkan saingan di tempat ketiga. - AFP

Berita Harian X