Isnin, 6 November 2017 | 1:28pm
GIMNAS berpengalaman negara Farah Ann Abdul Hadi perlu gandakan latihan selain menyertai beberapa pertandingan untuk menggilap rutin lebih mantap.
GIMNAS berpengalaman negara Farah Ann Abdul Hadi perlu gandakan latihan selain menyertai beberapa pertandingan untuk menggilap rutin lebih mantap.

Farah optimis cabaran Sukan Komanwel, Asia

KUALA LUMPUR: Biarpun sukar menjanjikan pingat namun barisan atlet gimnastik wanita negara tetap optimis mempamerkan rutin terbaik apabila turun beraksi di temasya Sukan Komanwel Gold Coast dan Asia Jakarta-Palembang.

Bagi gimnas berpengalaman negara Farah Ann Abdul Hadi, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah latihan yang konsisten selain menyertai beberapa pertandingan lain untuk menggilap rutin lebih mantap untuk diperagakan di dua temasya berkenaan.

Bagaimanapun Farah mengakui bahawa cabaran yang bakal dihadapi cukup sukar biarpun pernah melakar sejarah meraih pingat di Piala Cabaran Dunia FIG ke-12 di Ljubljana, Slovenia tahun lalu. Farah yang ketika itu menyumbangkan perak bagaimanapun menegaskan kejayaan itu bukan tiket untuk dirinya meraih pingat kerana dalam sukan gimnastik apa saja mungkin berlaku.

"Sasaran skuad gimnastik adalah untuk mara ke pentas akhir di dua temasya itu dan memperbaiki rutin yang dilakukan.

"Untuk pingat itu sukar tapi kita pernah meraihnya menerusi Ng Shu Wai yang pernah menyumbangkan pingat di kedua-dua temasya," katanya.

Shu Wai yang kini menjadi jurulatih gimnastik negara meraih perak ketika Sukan Asia Doha dalam acara melombol dan di Komanwel Melbourne menerusi senaman lantai.

Pencapaian terbaik Farah adalah menghuni ranking ke-11 di Komanwel dan ketujuh Asia namun dia bertekad untuk memperbaharui pencapaian itu apabila turun beraksi nanti.

Sementara itu Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) menyenaraikan lima gimnas ke Komanwel dan mereka terdiri daripada Farah, Tan Ing Yueh, Tan Fu lie, Tracie Ang dan Jeremiah Loo.

Acara gimnastik membenarkan setiap negara menghantar 10 atlet dalam tiga kategori dipertandingkan iaitu berirama (wanita) dan artistik (lelaki dan wanita).

Berita Harian X