Ahad, 22 Oktober 2017 | 9:56pm
AKSI Fitri Saari (kiri) cuba dihalang pemain India pada saingan final Piala Asia di Dhaka, sebentar tadi.
AKSI Fitri Saari (kiri) cuba dihalang pemain India pada saingan final Piala Asia di Dhaka, sebentar tadi.

Hoki: Malaysia naib juara Piala Asia

DHAKA: Malaysia sudah memberikan yang terbaik tetapi masih tidak memadai untuk menafikan kemaraan India yang menjulang trofi hoki Piala Asia di Dhaka, Bangladesh sebentar tadi.

Selepas mara ke final buat kali pertama dalam tempoh 35 tahun, Malaysia gagal menggapai impian untuk mencatat sejarah menjulang trofi sulung apabila tewas tipis 1-2 kepada India.

Dalam aksi final sebentar tadi, pemain negara berada dalam keadaan tertekan selepas lawan menjaringkan gol pada minit ketiga, hasil jaringan padang Ramandeep Singh.

Jaringan awal itu mengingatkan kembali detik hitam skuad negara apabila tumbang 6-2 kepada India dalam perlawanan round robin.

Pemain tengah negara juga kelihatan sukar untuk mendapat rentak sebenar, sama seperti yang berlaku sepanjang tiga suku pertama ketika perlawanan ketika Korea Selatan.

Situasi itu digunakan sepenuhnya oleh India yang mempunyai kelebihan rehat selama sehari untuk mengasak gawang Malaysia yang dijaga penjaga gol, S Kumar.

Kumar terpaksa bekerja keras dengan menyelamatkan gawang daripada dibolosi lebih banyak, sebelum India terus mendahului 2-0, menerusi jaringan padang Lalit Upadhyay pada minit ke-29 dan keputusan kekal hinggalah separuh perlawanan berehat.

Shahril Saabah cuba melakukan serang balas dan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan padang pada minit ke-50. India melakukan bantahan namun, rayuan mereka ditolak hasil penelitian tayangan video.

Dan ketika perlawanan berbaki tiga minit, jurulatih negara, Stephen van Huizen membawa keluar penjaga gol S Kumar bagi membawa masuk lebih pemain dalam usaha terakhir untuk memenangi perlawanan.

Sebelum ini, taktik itu berjaya membantu skuad negara ketika seri 1-1 menentang Korea Selatan tetapi kali ini, ia gagal membantu negara untuk memburu gol penyamaan.

Bagaimanapun, kekecewaan skuad negara sedikit terubat apabila Faizal Saari meraih dua anugerah individu apabila diumumkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dan pemain terbaik kejohanan.

Berita Harian X