Ahad, 22 Oktober 2017 | 8:15pm
PASUKAN China menduduki tempat kelapan pada separuh akhir Liga Dunia di London diberikan slot Piala Dunia.

Hoki: Malaysia 'hadiahkan' tiket Piala Dunia kepada China

DHAKA: China melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama, hasil persembahan mengagumkan dari Malaysia sepanjang kejohanan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh.

Kedudukan China disahkan selepas Malaysia mengikat Korea Selatan 1-1 semalam - keputusan yang membawa Malaysia ke pentas tiket ke final buat kali pertama menentang India.

Di bawah peraturan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), pasukan yang memenangi kelayakan benua secara automatik akan layak ke Piala Dunia.

Bagaimanapun India dan Malaysia - yang menamatkan saingan di tempat keempat pada separuh akhir Liga Dunia di London awal tahun ini - sudah layak kejohanan utama itu tahun depan, sekali gus memberikan satu lagi slot Piala Dunia kepada pasukan yang berikutnya yang belum layak.

Pasukan itu adalah China, yang memperoleh tiket ke Bhubaneswar selepas mereka menduduki tempat kelapan pada separuh akhir Liga Dunia di London.

Korea Selatan pula menamatkan saingan Liga Dunia di London di tempat kesembilan, kedudukan yang belum cukup untuk melayakkan diri ke Piala Dunia.

Peluang terakhir untuk Korea Selatan melayakkan diri ke Piala Dunia adalah memenangi Piala Asia, tetapi impian itu berakhir dengan penuh dramatik.

Pukulan penalti pada penghujung perlawanan oleh Faizal Saari berjaya mengikat Korea Selatan, 1-1 sekali gus menyaksikan mereka terlepas slot ke Piala Dunia buat kali pertama sejak edisi 1998 di Utrecht, Belanda.

China pula melayakkan diri kali ke-15 untuk ke Piala Dunia, menyertai tuan rumah India, Argentina, Australia, Belgium, Kanada, England, Jerman, Ireland, Malaysia, Belanda, New Zealand, Pakistan, Sepanyol dan Perancis dalam kejohanan disertai 16 negara itu.

Kejohanan Piala Dunia dijadual berlangsung di Stadium Kalinga pada 28 November hingga 16 Disember tahun depan.

Berita Harian X