Khamis, 19 Oktober 2017 | 10:29pm
PENGARAH Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Terry Walsh (kiri) puji prestasi skuad hoki negara. - Foto Abdullah Yusof
PENGARAH Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Terry Walsh (kiri) puji prestasi skuad hoki negara. - Foto Abdullah Yusof

Walsh pertahan prestasi Malaysian Tigers

DHAKA: Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Terry Walsh mempertahankan prestasi skuad hoki negara selepas dibelasah India 6-2 pada aksi kedua round robin Piala Asia di sini, hari ini.

Walsh yang tiba di sini untuk menyaksikan perlawanan round robin menegaskan skuad kendalian Stephen van Huizen itu tidak beraksi buruk, sebaliknya tewas kerana gagal memanfaatkan peluang yang menjelma.

"Bukan pemain Malaysia bermain buruk, ia kerana India mengambil peluang yang ada sementara pemain kita terlepas peluang mereka.

"Kita mempunyai 13 pukulan sudut penalti dan hanya berjaya menjaringkan satu gol daripada pukulan berkenaan, sementara India memperoleh tiga sahaja.

"Malah saya percaya keputusan perlawanan akan bertukar jika Ramadan (Rosli) berjaya menahan bola dan menjaringkan gol, namun apa yang terjadi dia terlepas dan pukulannya tersasar," katanya sejurus perlawanan.

Walsh berkata, Malaysian Tigers masih mempunyai peluang mara ke final dengan syarat menewaskan Korea Selatan pada aksi terakhir round robin, Sabtu ini.

Apapun, skuad Stephen mempunyai kelebihan psikologi kerana menewaskan lawan itu 2-1 dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini.

Dalam aksi sebentar tadi, India memperoleh gol menerusi Akashdeep Singh pada minit ke-14, Harmanpreet Singh (m-19), Uthappa Sannuvanda (m-24), Gurjant Singh (m-33), Sunil Sowmarpet (m-40) dan Sardar Singh (m-60) sementara gol negara disumbang Razie Rahim (m-50) dan Ramadan Rosli (m-58).

Pada perlawanan terdahulu, jaringan Lee Namyong pada minit ke-48 membantu Korea Selatan bangkit mengikat Pakistan 1-1 selepas lawan itu mendahului menerusi Ajar Ahmad pada minit ke-15.

Keputusan

Korea Selatan 1 Pakistan 1

Malaysia 2 India 6

Kedudukan

P M S K J B M

INDIA 2 1 1 0 7 3 4

MALAYSIA 2 1 0 1 5 8 3

KOREA SELATAN 2 0 2 0 2 2 2

PAKISTAN 2 0 1 1 3 4 1

Jadual Sabtu

5ptg: Malaysia mln Korea Selatan

7.30mlm: India mln Pakistan

*waktu Malaysia

Berita Harian X