Rabu, 18 Oktober 2017 | 7:27pm
PENYERANG hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (kiri) diasak oleh pemain Pakistan pada aksi round robin Piala Asia, sebentar tadi.
PENYERANG hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (kiri) diasak oleh pemain Pakistan pada aksi round robin Piala Asia, sebentar tadi.

Malaysia bangkit tewaskan Pakistan

DHAKA: Pasukan hoki negara mempamerkan aksi bertenaga apabila dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Pakistan 3-2 dalam peringkat round robin Piala Asia di sini, sebentar tadi.

Malaysia dijadual bertemu India yang berada di ranking keenam dunia esok dan kemenangan bakal membuka langkah buat skuad negara menjamin tempat ke pentas final.

Umar Bhutta membuka jaringan pada minit pertama permainan dan sebaik saja Malaysia merencana semula strategi, Faizal Saari terbabit dalam satu insiden yang menyaksikan mulutnya berdarah dan dibawa ke tepi padang untuk rawatan.

Kecederaan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat pasukan dan mereka menemui jaringan penyamaan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-10 menerusi Razie Rahim.

Namun Pakistan kembali mendahului permainan menerusi Muhammad Yaqoob selang sembilan minit kemudian sebelum jaringan daripada Shahril Saabah (m-25) memberi nafas lega buat pasukan negara.

Fitri Saari meletak Malaysia berada di depan pada minit ke-34 menerusi pukulan penalti selepas penjaga gol Pakistan, Mazhar Abbas melemparkan 'pad' ke arah perut Haziq Samsul.

Haziq dibawa keluar ke tepi padang namun Malaysia mampu mengekalkan keputusan 3-2 bagi mencerahkan peluang mereka untuk beraksi ke pentas final.

Berita Harian X