Selasa, 17 Oktober 2017 | 10:39pm

Malaysia ada kelebihan ke atas Pakistan

DHAKA: Kali terakhir pertemuan antara Malaysia dan Pakistan ialah setahun yang lalu di Kuantan dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia.

Kejohanan yang berlangsung dalam format round robin itu menyaksikan Malaysia menewaskan Pakistan 4-2 pada perlawanan pembukaan.

Bagaimanapun pada aksi separuh akhir, perlawanan berkesudahan 1-1 dan Pakistan menang 3-2 menerusi penentuan penalti.

Pada ketika itu, Pakistan menampilkan corak permainan pantas dan antara pasukan yang cukup digeruni, tetapi di Dhaka kali ini mereka kelihatan lebih perlahan dalam semua aspek.

Jurulatih Pakistan, Farhat Khan memilih India, berdasarkan ranking keenam dunia, sebagai pasukan pilihan kejohanan sementara Malaysia dianggap sebagai pasukan berbahaya.

"Ini adalah kejohanan yang sukar dalam kalangan pasukan Asia dengan India menjadi pasukan terkuat di atas kertas dengan menduduki ranking keenam dunia," kata Farhat.

"Tetapi masih ada pasukan yang melakukan kejutan, seperti Malaysia yang menamatkan perlawanan di tempat keempat Liga Dunia London. Oleh kerana itu, adalah penting bagi kami kekal fokus dalam permainan ini kerana kami mahu memenangi kejohanan ini," kata Farhat.

Pakistan mengakhiri saingan di tempat ketujuh di London tetapi masih melayakkan diri pada Piala Dunia 2018.

Dalam saingan round robin, Korea Selatan satu-satunya pasukan yang belum layak ke Piala Dunia dan perlu muncul juara untuk melayakkan diri.

Berita Harian X